KOTA BHARU: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sedang membangunkan sistem ramalan cuaca numerikal baharu yang akan membolehkan ramalan cuaca dikeluarkan lebih pantas dan tepat.
Sistem ini mampu meramal cuaca sehingga 14 hari lebih awal berbanding tujuh hari pada masa ini.
Timbalan Ketua Setiausaha (Kelestarian Alam) Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Nor Yahati Awang berkata sistem menggunakan superkomputer berkelajuan enam petaflops yang akan ditempatkan di Pusat Data Sektor Awam di Kulim, Kedah.
Sistem itu turut disokong teknologi kecerdasan buatan dan analitik data raya serta dijangka siap pada 2027.
“Lonjakan keupayaan ini merupakan pencapaian besar dalam sejarah pembangunan teknologi ramalan negara yang diyakini dapat memperkukuh sistem amaran awal serta meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi risiko bencana, demi melindungi nyawa dan harta benda rakyat,“ katanya.
Beliau menegaskan perubahan iklim bukan lagi isu masa depan tetapi realiti yang dihadapi hari ini dengan cuaca semakin sukar diramal dan kejadian cuaca ekstrem semakin kerap.
Ketua Pengarah MetMalaysia Datuk Mohd Hisham Mohd Anip berkata pelaksanaan sistem baharu itu akan memberikan masa lebih panjang kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara serta semua agensi strategik untuk membuat persediaan menghadapi bencana termasuk banjir.
“Superkomputer yang bakal diperoleh nanti akan menaikkan lagi kompetensi dan kecekapan pengurusan amaran bencana terutamanya bagi banjir,“ katanya.
Sistem itu turut disokong oleh model cuaca beresolusi lebih kecil iaitu 300 meter berbanding satu kilometer sebelum ini, membolehkan MetMalaysia menghasilkan data ramalan lebih terperinci dan tempatan.
“Kalau sebelum ini satu data mewakili satu kilometer persegi, kini setiap satu kilometer boleh dipecahkan kepada sembilan titik bacaan berbeza. Ini menjadikan ramalan kita jauh lebih halus dan tepat,“ katanya.
Mohd Hisham berkata sistem itu akan memberikan manfaat besar kepada pelbagai agensi dan sektor utiliti seperti TNB, Prasarana dan lapangan terbang yang bergantung kepada maklumat ramalan cuaca bagi operasi harian.
Namun beliau menegaskan fenomena ribut petir bersaiz kecil masih sukar diramal dalam tempoh panjang kerana sifatnya yang cepat dan berskala sempit.
“Kalau melibatkan ribut petir, hujan sejam atau dua jam, itu tidak boleh diramal dua minggu lebih awal. Tapi untuk sistem monsun yang besar, kita boleh nampak lebih ke depan sama ada akan berlaku bencana besar atau tidak,“ katanya.
MetMalaysia menyasarkan sistem itu menjadi tonggak utama dalam pembangunan sistem amaran awal negara yang inklusif, berkesan dan menyeluruh.
Sementara itu, Nor Yahati berkata menurut Laporan Khas Impak Banjir Malaysia 2021 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, jumlah kerugian akibat bencana itu mencecah RM6.1 bilion.
Kerugian itu merangkumi kerosakan tempat kediaman, premis perniagaan, kenderaan, sektor pertanian, pembuatan serta aset awam dan infrastruktur.
“Trend kerugian ini turut berterusan pada tahun-tahun berikutnya, dengan nilai direkodkan sebanyak RM0.6 bilion pada 2022, RM0.8 bilion pada 2023 dan meningkat lagi kepada RM0.9 bilion pada tahun 2024,“ katanya.
Beliau menegaskan situasi ini jelas menunjukkan impak banjir bukan sekadar kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda tetapi turut membawa kesan ekonomi dan sosial yang mendalam. – Bernama