KUALA LUMPUR: Usaha kerajaan melaksanakan konsolidasi fiskal bagi mengurangkan kadar defisit telah berjaya menghasilkan penjimatan pinjaman sebanyak RM20 bilion bagi tempoh dua tahun.
Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying berkata konsolidasi fiskal telah berjaya menurunkan kadar defisit secara konsisten setiap tahun.
“Pengurangan kadar defisit bermakna pinjaman baharu telah menurun daripada RM99.4 bilion pada tahun 2022 kepada RM92.6 bilion pada tahun 2023 dan seterusnya kepada RM76.8 bilion pada tahun 2024, iaitu penjimatan melebihi RM20 bilion dalam tempoh dua tahun,“ katanya.
Beliau berkata demikian dalam sesi penggulungan usul Laporan Ketua Audit Negara 3/2025 bagi Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat.
Kadar defisit menurun daripada 6.4% pada 2021 kepada 4.1% bagi 2024.
Menurut Lim, pinjaman yang dibuat oleh kerajaan adalah secara berhemat dan terarah kepada sektor pembangunan strategik.
Pinjaman difokuskan kepada infrastruktur, pendidikan, kesihatan dan perlindungan sosial yang berupaya merangsang pertumbuhan jangka masa panjang.
Sehingga akhir Jun 2025, jumlah hutang Kerajaan Persekutuan ialah RM1.3 trilion iaitu masih di bawah hak statutori hutang yang dibenarkan.
“Kerajaan akan meneruskan langkah-langkah bersesuaian bagi mengurangkan defisit dan hutang baharu termasuk liabiliti serta kebergantungan negara kepada hutang,“ tambahnya.
Dalam pada itu, Lim menjelaskan bahawa tindakan penguatkuasaan LHDN ke atas pembayar cukai adalah berdasarkan peruntukan undang-undang percukaian.
Bagi pembayar cukai yang culas membayar cukai, tindakan penguatkuasaan guaman sivil diambil melalui operasi guaman dan sekatan perjalanan.
Sehingga 31 Ogos 2025, sebanyak RM6.47 bilion telah dikurangkan melalui penerimaan bayaran dan lain-lain tindakan.
Selain itu, beliau menjelaskan keputusan hapus kira berjumlah RM337.14 juta pada 2024 telah dibuat mengikut prosedur yang ditetapkan.
Ia terhad kepada kes-kes di mana kutipan tidak lagi boleh dilaksanakan seperti pembayar cukai yang meninggal dunia, bankrap atau syarikat telah digulung. – Bernama