Kadar kemiskinan tegar Malaysia turun kepada 0.09% pada 2024

PUTRAJAYA: Malaysia telah mencapai matlamat utama apabila kemiskinan tegar hampir dinoktahkan kepada 0.09% berdasarkan Survei Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah 2024.

Kadar ini menunjukkan penurunan berbanding 0.2% yang direkodkan pada 2022.

Menteri Ekonomi Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata pencapaian itu menunjukkan pelbagai inisiatif peningkatan pendapatan rakyat menunjukkan keberkesanan.

“Berdasarkan amalan antarabangsa, sasaran miskin tegar tercapai apabila kadarnya adalah dalam julat tiga peratus dan ke bawah,“ katanya.

Taraf hidup rakyat bertambah baik dengan pendapatan purata bulanan isi rumah meningkat kepada RM9,155 pada 2024.

Ini merupakan peningkatan sebanyak 3.8% berbanding tahun 2022.

Pekali Gini yang mengukur jurang kesenjangan pendapatan pula semakin mengecil kepada 0.39 pada 2024.

“Ini merupakan satu daripada indikator yang baik dalam landskap sosiekonomi negara,“ katanya semasa berucap pada Majlis Peluncuran Laporan HIES 2024.

Berdasarkan laporan HIES 2024, insiden kemiskinan mutlak juga menunjukkan penurunan kepada 5.1%.

Ini berbanding 6.2% yang direkodkan pada 2022.

Amir Hamzah berkata HIES merupakan instrumen statistik yang digunakan untuk mengukur kemajuan dan peningkatan status sosioekonomi isi rumah.

Katanya survei itu merupakan satu daripada sumber utama bagi merangka dasar ekonomi dan sosial negara.

“Berdasarkan dapatan HIES ini, kerajaan dapat menyediakan statistik dan maklumat berkaitan tingkat pendapatan, corak perbelanjaan isi rumah, status kemiskinan dan penentuan kumpulan isi rumah mengikut pendapatan di Malaysia,“ katanya.

Beliau berkata kerajaan komited untuk membasmi kemiskinan dalam semua bentuk, tanpa mengira kaum, agama atau wilayah.

“Pendekatan membasmi kemiskinan perlu fokus kepada peningkatan mobiliti sosial, bukan sekadar bantuan sementara,“ katanya.

Sementara itu, Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin mendedahkan bahawa enam negeri mencatatkan pendapatan penengah isi rumah melebihi paras nasional.

Negeri-negeri tersebut ialah Kuala Lumpur (RM10,802), Putrajaya (RM10,769), Selangor (RM10,726), Johor (RM7,712), Pulau Pinang (RM7,386) dan Labuan (RM7,383).

Katanya Pulau Pinang merekodkan pertumbuhan tahunan tertinggi pada 6.4% manakala Perak mencatat pertumbuhan terendah pada 2.1%.

Beliau berkata trend agihan pendapatan menunjukkan perkembangan positif secara beransur-ansur.

Isi rumah dalam kumpulan B40 yang merangkumi 3.28 juta isi rumah, menerima had pendapatan sehingga RM5,859.

“Kumpulan pendapatan M40 pula di antara RM5,860 hingga RM12,679, manakala 1.64 juta isi rumah dalam kumpulan pendapatan T20, menerima pendapatan RM12,680 dan ke atas,“ katanya. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *