23 sukarelawan GSF Malaysia terima telefon bimbit baharu daripada Fahmi

SEPANG: Sebanyak 23 sukarelawan Malaysia dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla ke Gaza telah menerima telefon bimbit baharu daripada Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

Sumbangan tersebut bertujuan memudahkan komunikasi dan urusan peribadi mereka sebaik pulang ke tanah air.

Fahmi berkata telefon bimbit itu juga akan membantu sukarelawan terus berkongsi pengalaman dan maklumat misi melalui saluran komunikasi digital dengan lebih efisien.

Beliau menyatakan sumbangan kecil itu sebagai tanda penghargaan dan terima kasih kerana mewakili rakyat Malaysia dalam misi kemanusiaan GSF.

“Usaha dan semangat para sukarelawan misi GSF amat dihargai kerajaan,” katanya.

Ketibaan kumpulan sukarelawan itu turut disambut Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Wakil agensi kerajaan, badan bukan kerajaan serta ahli keluarga turut hadir menyambut kepulangan sukarelawan.

Penerbangan Emirates EK342 membawa kesemua 27 sukarelawan Malaysia termasuk empat dari kapal pemerhati serta lima peguam mendarat pada 10.07 malam Selasa.

Pada 2 Oktober, rejim Israel memintas kesemua 42 kapal misi kemanusiaan GSF ke Gaza dan menahan 495 aktivis termasuk 23 aktivis Malaysia.

Mereka kemudian dibebaskan secara berperingkat bermula 4 Oktober.

Jumaat lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan menggantikan telefon bimbit kepada 23 sukarelawan GSF yang terpaksa dibuang ke laut.

Tindakan membuang telefon bimbit mengikut prosedur operasi standard keselamatan yang dilatih sebelum pelayaran.

SOP tersebut adalah langkah berjaga-jaga sekiranya kapal ditahan tentera Israel dengan semua delegasi menerima taklimat dan latihan praktikal sebelum memulakan misi kemanusiaan mereka. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *