KUALA SELANGOR: Seorang pegawai polis memberitahu Mahkamah Sesyen di sini bahawa seorang wanita yang didakwa memiliki sepucuk pistol telah memintanya untuk tidak memberitahu suami mengenai penemuan senjata api itu.
ASP Khairulazizi Ismail yang merupakan pegawai tangkapan bagi kes tersebut berkata itu reaksi Sharifah Faraha Syed Husin, 42, selepas pistol ditemui semasa pemeriksaan kenderaan Honda Jazz yang digunakan tertuduh dan suaminya.
Khairulazizi berkata sebelum itu, beliau bersama seorang pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor dan lapan anggota lain daripada Bahagian Siasatan Khas JSJ Bukit Aman telah bergerak ke sebuah kawasan bazar Ramadan di Kuala Selangor untuk melakukan tangkapan terhadap suami Sharifah Faraha pada pukul 6 petang.
Beliau berkata setelah tangkapan dilakukan, mereka dipandu arah suami tertuduh telah bergerak ke sebuah rumah di daerah sama untuk pemeriksaan lanjut dengan Sharifah Faraha turut mengikuti di belakang menaiki kereta Honda itu dan ditemani anggota bertugas.
Pemeriksaan dilakukan selepas semua yang beragama Islam berbuka puasa dengan kereta itu berkunci dan Sharifah menyerahkan kunci sebelum pemeriksaan dijalankan.
Hasil pemeriksaan lanjut di bahagian but belakang kenderaan menemukan sebuah beg sederhana besar berwarna hitam dalam keadaan tertutup.
Zip telah dibuka oleh Sharifah sendiri dan di dalamnya terdapat sepucuk pistol disyaki senjata api dengan sarung pistol dan beberapa pakaian.
Sharifah meminta saya tidak memberitahu pasangannya mengenai pistol dengan alasan sepatutnya senjata api ini telah diserahkan kepada pembeli dan hanya dia sahaja yang tahu mengenai barangan itu.
Khairulazizi berkata demikian ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Nor Hakimi Mohamad Rosedin pada hari kedua perbicaraan kes Sharifah Faraha.
Peguam Datuk Dr Mohd Radzuan Ibrahim tertuduh membantah keterangan saksi berhubung jawapan reaksi anak guamnya atas alasan ia bersifat pengakuan dan tidak boleh diterima berdasarkan peruntukan Seksyen 26 Akta Keterangan 1950.
Mohamad Nor Hakimi menegaskan keterangan terbabit bersifat umum dan tidak bermaksud pengakuan seperti diperuntukkan di bawah Seksyen 26 akta tersebut.
Mahkamah menolak bantahan terbabit dan perbicaraan akan bersambung esok.
Pada 8 April 2024, Sharifah Faraha mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memiliki sepucuk pistol jenama CZ 75 P-01 CAL.9 LUGER di sebuah rumah di Kampung Bukit Belimbing, Kuala Selangor pada 8 malam, 29 Mac 2024.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan tidak kurang enam kali sebatan jika sabit kesalahan.
Pada 5 Jun 2025, suami kepada wanita itu Abdul Azim Mohd Yasin, 44, dihukum penjara 10 tahun dengan enam sebatan oleh mahkamah sama selepas mengaku bersalah atas pertuduhan dihadapinya.
Abdul Azim didakwa ada bersama Sharifah Faraha dalam keadaan yang menimbulkan anggapan munasabah bahawa dia tahu isterinya itu memiliki senjata api berkenaan pada lokasi, tarikh dan masa sama mengikut Seksyen 9 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman serupa.
Sebelum ini, seorang lelaki warga Israel Avitan Shalom dijatuhkan hukuman penjara tujuh tahun oleh Mahkamah Sesyen Kajang pada 26 Feb selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki 200 peluru dan enam senjata api.
Avitan, 39, didakwa melakukan kesalahan itu di dalam sebuah bilik hotel di Jalan Ampang, Kuala Lumpur antara 6.46 petang 26 Mac dan 6 petang pada 28 Mac tahun lepas. – Bernama