KOTA BHARU: Tujuh individu termasuk tiga beranak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan mengurung tiga lelaki di Pasir Puteh pada September lepas.
Hazafee Mohamed, Mohd Hasrun Mohd Yusof, Mohd Fairuz Mahasan, Muhammad Najmuddin Ahmad Zamri, Norhazri Muhammad Nor serta dua anaknya Muhammad Danish Syahmi dan Muhammad Darwish Syahmi membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Amirul Asyraf Abdul Rasid.
Kesemua mereka didakwa secara bersama mengurung tiga lelaki berusia 23 hingga 30 tahun di sebuah rumah di Jalan Pantai Bisikan Bayu, Cherang Ruku, Pasir Puteh pada kira-kira 4 pagi 25 September lepas.
Seorang lagi tertuduh Yang Marliziana Mohd Ramli pula didakwa bersubahat dalam pengurungan itu serta menyimpan rahsia berkaitan kesalahan berkenaan.
Tujuh tertuduh didakwa mengikut Seksyen 347 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama manakala Marliziana didakwa di bawah Seksyen 109 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum tiga tahun, denda atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nursyafiqah Mohamad manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Mohd Azrul Hasyimi Mohammad.
Majistret Amirul Asyraf memutuskan empat tertuduh iaitu Norhazri, Hazafee, Mohd Hasrun dan Mohd Fairuz tidak dibenarkan ikat jamin.
Bagaimanapun, Muhammad Najmuddin, Muhammad Danish Syahmi serta Muhammad Darwish Syahmi dibenarkan ikat jamin RM5,000 dan Marliziana sebanyak RM4,000 masing-masing dengan seorang penjamin.
Mahkamah menetapkan 30 November depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.
Sementara itu di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, empat tertuduh iaitu Norhazri, Hazafee, Mohd Hasrun dan Mohd Fairuz mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan rompakan bersenjata ke atas tiga mangsa berkenaan.
Mereka didakwa melakukan rompakan dan menunjukkan senjata api jenis pistol revolver .38 S&W yang mungkin mendatangkan ketakutan mati kepada mangsa di bawah jambatan Gong Kulim, Pasir Puteh pada 4.35 petang 25 September.
Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 4 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 40 tahun dan sebatan minimum enam kali jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Hajar Mazlan manakala peguam Mohd Azrul Hasyimi Mohammad mewakili tertuduh.
Mahkamah tidak membenarkan ikat jamin bagi kesemua tertuduh dan menetapkan 9 November ini untuk sebutan semula kes serta serahan dokumen. – Bernama