Status keahlian lima pemimpin STAR ditentukan esok kata Jeffrey

KOTA KINABALU: Status keahlian lima pemimpin Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) yang memilih untuk kekal bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam Pilihan Raya Negeri ke-17 akan diputuskan esok.

Presiden STAR Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan berkata pihaknya akan mengadakan mesyuarat khas esok untuk menentukan kedudukan kelima-lima wakil rakyat berkenaan.

“Saya telah memberikan mereka tempoh selama seminggu untuk menentukan keputusan mereka sama ada mahu terus bersama STAR atau sebaliknya, dan tempoh itu berakhir esok,” katanya kepada pemberita sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu petang ini.

Khamis lepas, STAR dan Parti Maju Sabah (SAPP) memutuskan untuk keluar daripada GRS dan bertanding secara solo dalam PRN17.

Bagaimanapun, semasa pengumuman pembubaran Dewan Undangan Negeri oleh Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor semalam, empat wakil rakyat STAR hadir iaitu Timbalan Presiden STAR Datuk Ellron Angin yang juga penyandang kerusi Sook.

Juga hadir ialah Datuk Abidin Madingkir (Paginatan), Datuk Annuar Ayub (Liawan), dan Flovia Ng (Tulid).

Seorang lagi Timbalan Presiden STAR yang juga penyandang kerusi Bingkor Datuk Robert Tawik kekal menyokong GRS walaupun tidak hadir pada majlis itu.

Kelima-lima wakil rakyat tersebut hadir pada Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi GRS di sini hari ini.

Jeffrey berkata beliau menghormati keputusan berkenaan dan itu adalah hak mereka untuk membuat sebarang keputusan. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *