PUTRAJAYA: Kesemua 23 rakyat Malaysia yang menyertai misi Global Sumud Flotilla akan tiba di tanah air malam esok.
Ketua Pengarah Pusat Gerakan Operasi Sumud Nusantara Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby berkata mereka akan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1 pada pukul 9.45 malam.
Beliau memaklumkan jemputan telah dikeluarkan untuk semua penyokong dan rakan media menghadiri Majlis Sambutan kepulangan wira Sumud Nusantara Malaysia.
Pada Khamis lepas, 23 aktivis rakyat Malaysia yang menyertai misi GSF telah ditahan tentera rejim Zionis selepas kapal mereka dipintas di perairan Zon Merah Laut Mediterranean.
Mereka kemudian dibawa ke pelabuhan Ashdod di Israel sebelum dilaporkan dibebaskan.
Kesemua mereka berlepas dari Lapangan Terbang Ramon di Israel pada pukul 6.45 petang waktu Malaysia semalam.
Penerbangan mereka kemudian tiba di Istanbul pada pukul 8.40 malam waktu Malaysia.
Antara rakyat Malaysia yang ditahan ialah penyanyi Heliza Helmi dan adiknya Nur Hazwani Afiqah yang menaiki kapal Hio.
Nurfarahin Romli dan Danish Nazran Murad menaiki kapal Grande Blu manakala penyanyi Zizi Kirana menaiki kapal Huga.
Musa Nuwayri, Iylia Balqis dan Sul Aidil pula menaiki kapal Alma semasa ditahan.
Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khiruddin dan Rusydi Ramli menaiki kapal Sirius manakala Razali Awang menaiki kapal Inana.
Pempengaruh Nurul Hidayah Mohd Amin atau Ardell Aryana menaiki kapal Mikeno.
PU Rahmat, Norhelmi Ab Ghani, Mohd Asmawi Mukhtar, dan Norazman Ishak menaiki kapal Estrella.
Zainal Rashid dan Ustaz Muhammad Abdullah menaiki kapal Fair Lady.
Muhammad Hareez Adzrami atau Haroqs, Muhd Haikal Luqman Zulkefli dan Taufiq Mohd Razif menaiki kapal Free Willy. – Bernama