RTM dan Astro anjur konsert Deepavali pertama bersama Oktober ini

KUALA LUMPUR: Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Astro mencipta sejarah dengan buat pertama kalinya bekerjasama menganjurkan konsert khas sempena sambutan Deepavali bulan ini.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching menyatakan konsert bertemakan “Titikkum Deepavali Kondattam” itu merupakan detik bersejarah yang mempamerkan kerjasama erat antara sektor penyiaran awam dan swasta.

“Ini satu usaha yang sangat baik, kerana kita dapat melihat dua organisasi besar iaitu daripada kerajaan dan sektor swasta, berganding bahu untuk menghasilkan konsert yang menampilkan bakat-bakat tempatan untuk meraikan budaya dan komuniti,“ katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berharap konsert itu menjadi hadiah manis buat semua yang menyambut Deepavali.

Teo berkata konsert berkenaan telah dirakam pada 20 September lepas di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri.

Konsert itu akan disiarkan serentak di saluran TV2 (RTM) serta Astro Vinmeen (Saluran 202) pada 21 Oktober pukul 9 malam.

Konsert tersebut bakal menampilkan 70 artis tempatan termasuk penyanyi, penari serta nama-nama popular seperti Darkkey, Balan Kash, Santesh dan Zubir Khan.

Persembahan istimewa juga akan diberikan oleh penyanyi legenda India Srinivas.

Kerjasama itu turut menyaksikan penyampai radio daripada dua stesen berbahasa Tamil, Raaga dan Minnal FM, berkongsi pentas buat pertama kali.

“Kerjasama seperti ini menunjukkan kepentingan perkongsian sumber dan kepakaran dalam usaha meningkatkan kualiti produksi tempatan,“ kata Teo.

Beliau menegaskan media adalah rakan kementerian yang kadang-kadang bersaing dari segi kualiti berita tetapi boleh berkongsi sumber bagi menghasilkan sesuatu yang lebih besar untuk penonton.

Teo melahirkan keyakinan bahawa kerjasama seumpama itu boleh diperluas ke bidang atau program lain seperti sukan.

Beliau menyatakan terdapat banyak lagi peluang pada masa hadapan untuk kerjasama serupa jika ada yang sesuai dan menepati keperluan masyarakat. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *