Polis tahan pemandu van bantu siasatan kemalangan di Ipoh

IPOH: Polis menahan seorang lelaki disyaki pemandu van yang terlibat dalam kemalangan membabitkan enam kereta di kawasan parkir Stesen KTM Ipoh awal pagi Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata kejadian berlaku kira-kira 2.55 pagi apabila van dipandu lelaki berkenaan dipercayai gagal dikawal ketika membelok masuk ke simpang.

Van tersebut kemudian melanggar beberapa kenderaan yang diletakkan di kawasan parkir stesen itu.

“Hasil maklumat orang awam, pemandu terbabit berjaya dikesan dan ditahan bagi membantu siasatan.

“Tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu dan hasil saringan air kencing terhadap lelaki terbabit mendapati dia negatif terhadap dadah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara cuai dan membahayakan.

Terdahulu tular menerusi Facebook video memaparkan beberapa kereta diparkir di Stesen KTM Ipoh mengalami kerosakan teruk dipercayai dilanggar kenderaan lain. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *