IPOH: Polis memohon bantuan orang ramai bagi mengesan dua wanita dan seorang remaja perempuan yang dilaporkan hilang di sekitar bandar raya ini sejak bulan lepas.
Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata seorang daripada mereka, Annusia Micheal Dass berusia 22 tahun telah dilaporkan hilang sejak 9 September.
Annusia berbadan kurus dan beralamat di Persiaran Jelapang 19, Taman Silibin dekat sini.
Sebarang maklumat mengenainya boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat Inspektor B. Devendra melalui talian 018-9633 365 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh 05-2451 500.
Beliau berkata Chai Foo Ching, 46, pula dilaporkan hilang pada 14 September.
Wanita itu yang beralamat terakhir di Jalan Klebang Indah 9, Medan Klebang Indah, di sini berbadan sederhana dan berkulit cerah.
Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi penolong pegawai penyiasat kes Sarjan Muhd Yassier As Syafiq Yaacub melalui talian 019-4590032 atau Balai Polis Jelapang 05-5261226.
Abang Zainal Abidin berkata S. Sharvinder Kaur, 17, turut dilaporkan hilang pada 23 September.
Remaja terbabit yang berbadan kurus dan berkulit bersawo matang beralamat di Lebuh Kledang Utara 5, Taman Arkid Menglembu di sini.
Beliau berkata orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi pegawai penyiasat kes Inspektor Zurainie Syamira Mohd Zainudin melalui talian 017-9558684 atau IPD Ipoh. – Bernama