Pemimpin tidak perlu tunggu pilihan raya untuk bertindak – PM Anwar

PETALING JAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa pemimpin tidak perlu menunggu musim pilihan raya untuk melaksanakan tindakan yang diperlukan.

Beliau berkata perkhidmatan awam yang bersedia menghadapi masa hadapan memerlukan pemimpin yang bersikap telus, terbuka terhadap kritikan dan berfikiran melangkaui kitaran pilihan raya.

Kepimpinan dalam bidang politik mahupun perkhidmatan awam harus berasaskan kepada kejelasan moral dan keberanian untuk melaksanakan reformasi yang tulen.

Anwar menekankan bahawa integriti mesti menjadi prinsip asas kerana tanpa kepercayaan, sistem yang dirancang dengan sebaik mana pun tetap akan gagal.

Beliau turut menyeru agar perkhidmatan awam dibentuk berlandaskan nilai, saling berhubung serta mengintegrasikan teknologi, integriti dan reformasi bagi memperkukuh penyampaian perkhidmatan.

Di Malaysia, kerajaan berusaha menjadikan semua prinsip ini sebagai sistem yang berfungsi dengan berkesan.

Identiti digital memperkukuh akses selamat kepada perkhidmatan manakala subsidi berasaskan data membolehkan bantuan disalurkan secara lebih tepat kepada golongan yang benar-benar memerlukan.

Pelan peralihan tenaga kini membuka peluang kepada pembangunan kemahiran dan penciptaan pekerjaan baharu sambil memastikan kedudukan fiskal negara kekal kukuh.

Langkah seterusnya ialah menghubungkan semua reformasi ini agar kerajaan dapat berfungsi sebagai satu entiti yang padu, bukannya secara terpisah.

Kejayaan diukur melalui masa yang dijimatkan, kejelasan yang dicapai serta keyakinan rakyat bahawa data dan maruah mereka sentiasa dilindungi.

Meskipun teknologi seperti analisis data dan kecerdasan buatan terus mengubah landskap tadbir urus, tujuan utamanya ialah untuk memudahkan kehidupan serta menjadikan perkhidmatan lebih berteraskan nilai kemanusiaan.

Langkah berikutnya ialah memastikan kesalingoperasian di mana rakyat hanya perlu memberikan butiran peribadi mereka sekali sahaja.

Kerajaan hendaklah menggunakan maklumat itu secara bertanggungjawab merentasi pelbagai agensi untuk meningkatkan kecekapan perkhidmatan.

Setiap interaksi mesti meninggalkan jejak audit yang membina kepercayaan awam, bukannya menuntut lebih banyak maklumat daripada rakyat.

Kerajaan digital seharusnya meringankan beban rakyat, bukan menambahkannya dengan prosedur yang rumit.

ASEAN memasuki dekad ini dengan terpaksa berdepan pelbagai cabaran besar termasuk ketegangan perdagangan dan perubahan teknologi yang pesat.

Rantau ini juga berhadapan dengan krisis iklim serta desakan yang semakin meningkat untuk ketelusan dalam tadbir urus.

Meskipun ASEAN kekal sebagai antara rantau paling stabil di dunia, kestabilan sahaja tidak mencukupi untuk mempersiapkannya bagi menghadapi cabaran masa hadapan.

ASEAN yang mempunyai 670 juta penduduk dengan kepelbagaian bahasa, budaya dan agama perlu berkembang menjadi rangkaian institusi yang berkeupayaan dan dipercayai.

Fasa seterusnya dalam kerjasama ASEAN akan bergantung kepada bagaimana negara anggota memodenkan institusi dan sistemnya.

Tiada mana-mana negara mampu mendepani kejutan akibat perubahan iklim, ancaman siber atau krisis kesihatan secara sendirian.

Ketahanan serantau bergantung kepada keberkesanan sistem dalam saling belajar serta membantu antara satu sama lain.

Kepercayaan, kesalingoperasian dan keupayaan merupakan sempadan baharu dalam perkhidmatan awam yang perlu dicapai oleh semua negara ASEAN.

Untuk mencapainya, negara anggota memerlukan piawaian yang jelas, data yang selamat serta kerjasama yang merentasi sempadan dan birokrasi. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *