KUALA LUMPUR: Memorandum persefahaman dalam bidang pendidikan tinggi yang dimeterai antara Malaysia dan Pakistan akan menjadi platform strategik bagi mempromosikan jenama pendidikan Malaysia di peringkat global.
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata kerjasama yang digariskan dalam MoU itu merangkumi pelbagai aspek termasuk Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik.
Inisiatif tersebut juga meliputi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional, teknologi maklumat, transformasi digital serta kecerdasan buatan.
“Melalui pelbagai inisiatif seperti program mobiliti pelajar dan pelancongan pendidikan, penyertaan pelajar Pakistan dalam program sedemikian membolehkan mereka mendapat pendedahan langsung terhadap sistem pendidikan Malaysia,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau menambah bahawa para pelajar akan memperoleh pengalaman pelbagai budaya yang mendalam sekali gus membina kefahaman, toleransi dan empati rentas budaya.
Majlis menandatangani MoU berkenaan disaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri Pakistan Muhammad Shehbaz Sharif.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata MoU dalam bidang pensijilan halal yang dimeterai menandakan kejayaan besar dalam memperkukuh ekosistem halal kedua-dua negara.
“Insya-Allah, kerjasama ini akan melonjakkan lagi ekosistem halal kedua-dua negara dan memperluaskan pasaran produk halal di peringkat antarabangsa,” katanya.
Mohd Na’im berkata MoU itu memfokuskan kepada pengiktirafan bersama sijil halal antara Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan Pakistan Halal Authority.
Kerjasama ini akan mengukuhkan integriti Halal Malaysia di peringkat global.
Selain itu, ia turut meliputi usaha membangunkan sistem halal global yang seragam dari segi standard dan prosedur.
Inisiatif tersebut juga akan memperkukuh perkongsian pengalaman dan pengetahuan dalam aspek teknologi, pembangunan modal insan dan penyelidikan serta pembangunan halal.
Shehbaz dan delegasi rasmi beliau tiba di Malaysia semalam untuk lawatan rasmi selama tiga hari atas jemputan Anwar. – Bernama