Lebih 100 pegawai bomba dilatih tangani kebakaran kenderaan elektrik

PUTRAJAYA: Lebih 100 pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia telah menjalani latihan serta kursus khas bagi memperkukuh kesiapsiagaan pasukan dalam menangani insiden kebakaran melibatkan kenderaan elektrik.

Ketua Pengarah JBPM Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata pegawai terlatih itu akan berperanan sebagai jurulatih utama dan ditugaskan ke setiap negeri bagi menyampaikan kaedah berkesan dalam menangani kebakaran EV kepada anggota.

Beliau berkata JBPM juga telah mengeluarkan garis panduan berhubung kaedah memadam kebakaran kenderaan elektrik secara betul dan berkesan, termasuk kejadian di lokasi pengecasan mahupun kawasan terbuka.

Nor Hisham menyatakan JBPM turut melengkapkan semua balai bomba dengan peralatan khusus seperti selimut api antaranya melalui sumbangan daripada pihak swasta dan pengeluar kenderaan elektrik.

Beliau berkata JBPM bersama rakan antarabangsa sedang merangka garis panduan bagi pelupusan bateri EV yang mencapai tamat hayat kerana penggunaan bateri gantian tidak berkualiti boleh mendatangkan bahaya.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Aiman Athirah Sabu berkata sebanyak 27 kes kebakaran membabitkan kenderaan elektrik dan hibrid direkodkan JBPM dari 2023 hingga Julai lepas.

Aiman Athirah berkata meskipun penggunaan EV dilihat mampu mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil dan lebih mesra alam, kenderaan jenis itu masih berisiko tinggi untuk terbakar.

Sementara itu, Nor Hisham berkata Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam mahu JBPM menjalinkan kerjasama strategik dengan Universiti Teknikal Malaysia Melaka khususnya dalam bidang penyelidikan teknologi bateri.

Beliau berkata permohonan khas daripada Mohd Ali ialah untuk JBPM mendidik ataupun melaksanakan pendidikan keselamatan kebakaran untuk sekolah tahfiz di Melaka. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *