CAMERON HIGHLANDS: Penginapan daif dengan bilik sempit menjadi tempat tinggal sepasang suami isteri warga Indonesia yang diperiksa dalam Operasi Bersepadu Pasukan Khas Penguatkuasaan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia melalui Jabatan Tenaga Kerja Negeri Perak.
Hamidi berusia 28 tahun bersama isterinya Mutimatul Hasanah berusia 27 tahun merupakan antara 14 pekerja tempatan dan 63 pekerja asing warga Indonesia serta Bangladesh yang diperiksa dalam operasi penguatkuasaan khas bermula 9.30 pagi.
Timbalan Ketua Pengarah Operasi JTKSM Betty Hasan menyatakan pihaknya melakukan pemeriksaan ke atas sembilan majikan dalam sektor pembinaan, perkhidmatan dan pertanian bagi memastikan pematuhan penuh terhadap undang-undang perburuhan negara.
Beliau menegaskan pihaknya ingin menguatkuasakan akta untuk melihat bagaimana majikan mematuhi undang-undang walaupun pendidikan perburuhan telah diadakan.
Contoh pelanggaran yang ditemui termasuk pembayaran gaji tunai, penginapan daif dengan tidak cukup kelengkapan, keselamatan pekerja serta kemudahan asas tidak diambil perhatian oleh majikan.
Operasi tersebut melibatkan 80 anggota daripada Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran, Jabatan Imigresen Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan dan Pertubuhan Keselamatan Sosial.
Sebanyak 28 kertas siasatan akan dibuka berdasarkan kesalahan yang dikenal pasti oleh jabatan dan agensi terlibat selaras dengan peruntukan undang-undang di bawah bidang kuasa masing-masing.
JTKSM dalam kenyataan memaklumkan antara kesalahan yang dikesan adalah di bawah Akta Standard Minimum Perumahan Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990.
Kesalahan lain yang ditemui termasuk pelanggaran di bawah Akta Kerja 1955 dan Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011.
Majikan didapati membayar gaji secara tunai dan gagal memberi notis perniagaan kepada JTK.
Turut dikesan tiada kontrak kerja dan tiada penyata gaji diberikan kepada pekerja sedia ada serta bayaran gaji tidak mengikut kadar minimum sepertimana Perintah Gaji Minimum 2024.
Kesemua kesalahan yang dikesan ini akan diambil tindakan dengan membuka kertas siasatan bagi tindakan kompaun dan pendakwaan selaras dengan akta berkaitan. – Bernama