Industri kreatif harap Belanjawan 2026 beri tumpuan pembangunan menyeluruh

KUALA LUMPUR: Penggiat industri kreatif berharap Belanjawan 2026 memberi tumpuan kepada pembangunan menyeluruh sektor itu bagi memperkukuh ekosistem industri serta memastikan pertumbuhan mampan dan berdaya saing.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) Datuk Azmir Saifuddin Mutalib menyatakan tiga tumpuan utama telah dikemukakan iaitu kebajikan penggiat seni, pengukuhan ekonomi kreatif serta penghasilan karya berteraskan kenegaraan dan perpaduan.

Beliau mencadangkan Dana Kenegaraan bagi menggalakkan lebih banyak penerbit menghasilkan karya bertemakan perpaduan.

“Kita juga mahu meneruskan program latihan industri untuk mempersiapkan penggiat menghadapi teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan,” katanya.

Isu kebajikan penggiat seni turut diberi perhatian dengan cadangan supaya bantuan dan perlindungan sosial seperti caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial serta insurans diperluaskan kepada mereka bekerja secara bebas.

Azmir Saifuddin turut berharap kerajaan mengekalkan insentif sedia ada seperti Insentif Penerbitan Filem di Malaysia yang terbukti berjaya menarik pelaburan asing serta memperluas peluang pekerjaan kru tempatan.

Presiden Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) Datuk Jurey Latiff Rosli berkata dasar perolehan baharu RTM perlu diwujudkan dengan berpaksikan pembangunan industri.

Beliau turut menekankan perlunya peruntukan mencukupi untuk memperbanyak kandungan berkualiti tinggi di stesen penyiaran awam.

“Industri televisyen bukan sekadar hiburan, tetapi alat pembinaan negara bangsa, penyampai nilai murni dan wadah perpaduan rakyat,” katanya.

Beliau turut mencadangkan FINAS menubuhkan Dana Sepadan Kolaborasi Antarabangsa bagi menggalakkan penghasilan kandungan bersama negara anggota ASEAN dan rakan serantau.

Presiden Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) Datuk Afdlin Shauki menegaskan keperluan kerajaan menilai semula dasar pencukaian terhadap industri kreatif memandangkan ramai karyawan tempatan masih berdepan cabaran ekonomi.

“Industri kreatif ini pulangannya tidak besar, jadi kerajaan boleh membantu dengan mengurangkan atau mengecualikan cukai untuk karyawan tempatan seperti diamalkan di Ireland,” katanya.

Beliau juga mencadangkan kerajaan meneliti semula polisi pemilikan hak harta intelek oleh RTM agar penerbit tempatan tidak kehilangan potensi pendapatan jangka panjang.

“Kalau mahu beli IP sepenuhnya, bayar dengan harga setimpal. Jika tidak, lebih baik sistem pelesenan setahun atau dua tahun diamalkan supaya penerbit boleh terus menjana pendapatan daripada karya mereka,” katanya. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *