KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menegaskan gambaran yang diberikan dalam keputusan Persekutuan Bolasebak Antarbangsa (FIFA) adalah tidak tepat.
FAM dalam kenyataan hari ini memaklumkan dakwaan pemain ‘memperoleh atau mengetahui mengenai dokumen palsu’ adalah tidak berasas kerana tiada bukti kukuh dikemukakan setakat ini.
Kesemua tujuh pemain warisan terlibat adalah rakyat Malaysia yang sah menurut kenyataan rasmi FAM.
Kesilapan yang berlaku berpunca daripada wrong submission iaitu ralat pentadbiran apabila seorang kakitangan tersilap memuat naik dokumen daripada ejen.
Dokumen yang sepatutnya dimuat naik adalah dokumen rasmi yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Rayuan rasmi kini sedang disediakan dengan menggunakan dokumen asal yang sah serta disahkan oleh Kerajaan Malaysia.
FAM akan mengemukakan rayuan rasmi berhubung kesimpulan ini dan kekal komited mempertahankan integriti bola sepak negara berdasarkan fakta serta dokumen sahih.
Bulan lepas, FAM dan tujuh pemain warisan dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA berkaitan pemalsuan dokumen.
FIFA memaklumkan FAM menyerahkan dokumen yang dipalsukan bagi mengesahkan kelayakan pemain untuk pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun lepas.
Tujuh pemain warisan yang dikenakan tindakan ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel.
FAM dikenakan denda CHF350,000 iaitu kira-kira RM1.8 juta manakala setiap pemain didenda CHF2,000 atau kira-kira RM10,560.
Setiap pemain juga digantung 12 bulan daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak berkuat kuasa mulai tarikh notifikasi keputusan berkenaan.
FIFA menerusi laporan siasatan Jawatankuasa Tatatertib FIFA bertarikh 6 Okt 2025 mendapati beberapa pemain di bawah FAM telah menggunakan dokumen palsu.
Dokumen palsu tersebut digunakan bagi mengelak dan memintas peraturan FIFA bagi membolehkan mereka mewakili Harimau Malaya. – Bernama