SEREMBAN: Seramai 120 wakil syarikat dan individu telah mendapat manfaat daripada taklimat Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) yang dianjurkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan.
Pengarah KPDN Negeri Sembilan Muhammad Zahir Mazlan berkata inisiatif itu bertujuan menggalakkan lebih banyak syarikat pengangkutan awam darat dan barangan mendaftar bagi menikmati subsidi petrol RON95.
Beliau menyatakan program tersebut melibatkan rakan strategik termasuk wakil syarikat petrol, kumpulan sasar, persatuan teksi, individu dan entiti perniagaan.
“Ini bagi mengelakkan berlakunya kecelaruan maklumat di luar sana dan kami mahu pastikan agenda pelaksanaan penyasaran RON95 kerajaan ini sampai terus kepada rakyat dengan informasi dan maklumat yang betul,” katanya kepada pemberita pada program sesi penerangan SKPS di Dewan KPDN.
Seorang pengurus syarikat pembekal makanan berusia 30 tahun menyifatkan penyasaran RON95 itu amat membantu kepada pengusaha seperti dirinya kerana mampu mengurangkan kos operasi syarikat.
Kelvin menjelaskan harga subsidi RM2.05 seliter berbanding RM2.60 di pasaran memberikan perbezaan yang agak besar dan kesan langsung kepada kos operasi.
“Jika tidak mendaftar, kami tidak layak menikmati harga subsidi itu dan terpaksa membayar pada kadar biasa,” katanya yang berpengalaman lebih 15 tahun dalam perniagaan penghantaran bekalan makanan di Johor Bahru dan Pahang.
Pemandu teksi R. Lechumanan berusia 72 tahun berkata dia hadir ke sesi taklimat itu bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai pelaksanaan SKPS kerana masih terdapat beberapa perkara yang kurang difahami.
“Selepas mendengar taklimat dan penerangan daripada pegawai KPDN, barulah saya benar-benar f https://mysubsidi.kpdn.gov.my tkan subsidi melalui SKPS,” katanya.
Pendaftaran SKPS boleh dilakukan melalui pautan https://mysubsidi.kpdn.gov.my dan mereka yang mempunyai pertanyaan boleh hadir ke semua pejabat cawangan KPDN Negeri Sembilan dari jam 8 pagi hingga 5 petang Isnin hingga Jumaat. – Bernama