KUALA LUMPUR: Pindaan Perlembagaan bagi melaksanakan pemisahan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya dijadual dibentangkan tahun depan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata langkah itu susulan keputusan dasar Jemaah Menteri pada 10 September lepas.
“Berikutan keputusan tersebut, langkah seterusnya dalam menjayakan reformasi ini adalah meminda Perlembagaan terlebih dahulu bagi memberikan punca kuasa yang sah,“ katanya.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) mengenai status terkini cadangan pemisahan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya.
Jemaah Menteri bersetuju menerima pakai model pemisahan penuh dengan Peguam Negara dan Pendakwa Raya akan dipegang oleh dua individu berbeza dengan kedudukan setara.
“Rang Undang-Undang Perlembagaan Persekutuan itu dijangka dibentangkan pada tahun depan,“ katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat.
Selepas pindaan tersebut dikuatkuasakan, kerajaan akan membentangkan dua Rang Undang-Undang susulan.
RUU Saraan akan menetapkan struktur gaji dan elaun Pendakwa Raya manakala RUU Pembaruan Undang-Undang Pendakwa Raya bersifat omnibus.
Lebih 20 akta perlu dipinda bagi menjayakan pelaksanaan menyeluruh pemisahan kuasa tersebut.
Antara akta terlibat termasuk Kanun Keseksaan, Kanun Tatacara Jenayah, Akta Keterangan, Akta Imigresen dan Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman.
Menjawab soalan tambahan sama ada Peguam Negara akan terus menjadi anggota pentadbiran, Azalina berkata perkara itu tertakluk kepada keputusan dasar Jemaah Menteri.
“Isunya ialah sama ada kita mahu Peguam Negara hadir ke Parlimen,“ katanya.
“Sudah tentu, jika Peguam Negara hadir ke Parlimen, beliau perlu menjadi ahli Parlimen sama ada sebagai senator atau ahli Dewan Rakyat.”
Kerajaan telah menjalankan kajian perbandingan di beberapa negara seperti Kanada, Australia dan United Kingdom.
Kajian itu bagi meneliti amalan terbaik dan menjamin kebebasan pendakwaan selepas pemisahan kuasa dilaksanakan.
Pasukan petugas khas telah melaksanakan kajian komparatif, doktrinal dan saintifik kemasyarakatan sebagai asas kepada pelaksanaan reformasi.
“Memang kita tahu, berdasarkan pandangan badan bukan kerajaan (NGO) dalam negara, antara perkara yang sangat penting ialah isu kewangan, pembayaran, kenaikan pangkat serta memastikan pelantikan dan pemberhentian dibuat secara benar-benar bebas,“ katanya. – Bernama