Mangsa banjir di Kedah berkurang, kekal di Perak pada 8 pagi

KUALA LUMPUR: Keadaan banjir di Kedah menunjukkan sedikit pemulihan pagi ini dengan jumlah mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS) berkurang manakala 26 mangsa di Perak masih belum dibenarkan pulang.

Di Kedah sebanyak 164 orang daripada 51 keluarga ditempatkan di dua PPS setakat 8 pagi ini berbanding 169 orang daripada 52 keluarga malam tadi.

Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata seramai 109 orang daripada 33 keluarga ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Langgar.

“Mereka adalah dari Mukim Langgar/Limbong.”

“PPS Dewan Serbaguna Pokok Sena pula menempatkan 55 orang daripada 18 keluarga dari Mukim Gajah Mati dan Mukim Lesong.”

Beliau berkata paras air Sungai Kedah di Jambatan Lebuhraya Kota Setar mencatat bacaan 1.62 meter berbanding paras berjaga-jaga 1.5 meter.

Sementara itu di Perak sebanyak 26 orang daripada tujuh keluarga masih ditempatkan di PPS SK Matang di daerah Larut Matang dan Selama (LMS).

“Kesemua mangsa berada di PPS tersebut sejak 3 Okt lepas berikutan banjir yang melanda Kampung Matang Jambu dan Kampung Telok Kertang.”

Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan hujan pada sebelah petang di hampir semua daerah di negeri itu hari ini.

Daerah Kinta dijangka mengalami hujan dari pagi hingga malam. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *