Malaysia, Pakistan teguhkan kerjasama serantau, kutuk keganasan genosid di Gaza

KUALA LUMPUR: Malaysia dan Pakistan menegaskan semula kepentingan kerjasama serantau dalam pengurusan bencana serta bantuan kemanusiaan, di samping menyatakan pendirian bersama terhadap isu global utama termasuk situasi di Gaza, Islamofobia dan kestabilan serantau.

Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan pada akhir lawatan rasmi tiga hari Perdana Menteri Pakistan Muhammad Shehbaz Sharif ke Malaysia, beliau dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berikrar untuk memperkukuh kerjasama dalam pengurusan bencana, bantuan kemanusiaan serta pemulihan pascabencana.

“Kedua-dua pemimpin menekankan kepentingan kritikal kerjasama serantau dalam pengurusan bencana dan pengurangan risiko, serta komited untuk mempertingkatkan pertukaran pengetahuan dan amalan terbaik dalam bantuan kemanusiaan, tindak balas kecemasan serta pemulihan dan pembinaan semula pascabencana,” menurut kenyataan itu.

Kedua-dua pemimpin turut menegaskan semula kepentingan kerjasama berterusan dalam pertubuhan antarabangsa, khususnya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Kumpulan Lapan Negara Membangun (D-8), sambil menyatakan sokongan bersama terhadap inisiatif dan pencalonan masing-masing.

Anwar dan Shehbaz juga mengecam sekeras-kerasnya keganasan genosid yang berterusan di Semenanjung Gaza serta mengulangi sokongan tidak berbelah bahagi terhadap hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri dan menubuhkan sebuah negara merdeka berdasarkan sempadan pra-Jun 1967 dengan Al-Quds Al-Sharif sebagai ibu negara.

“Mereka turut menyeru gencatan senjata segera, tanpa syarat dan berkekalan, penamatan sekatan terhadap Gaza serta penyaluran bantuan kemanusiaan tanpa halangan kepada semua mangsa yang terjejas,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan tersebut memaklumkan bahawa kedua-dua pemimpin membincangkan ancaman yang semakin meningkat terhadap keamanan dan keselamatan serantau serta menegaskan kepentingan untuk bertindak dengan berhemah, bertanggungjawab dan menghormati kedaulatan serta keutuhan wilayah sesebuah negara.

“Mereka bersetuju bahawa sebarang pertikaian mesti diselesaikan melalui cara aman selaras dengan undang-undang antarabangsa, Piagam PBB dan resolusi Majlis Keselamatan PBB yang berkaitan,” menurut kenyataan itu.

Berhubung Afghanistan, kedua-dua pemimpin menegaskan komitmen terhadap keamanan dan kestabilan negara itu, serta menekankan kepentingan meneruskan hubungan dengan pihak berkuasa sementara Afghanistan bagi memerangi keganasan dan mengelak tanah negara itu digunakan untuk menentang mana-mana negara lain.

Anwar dan Shehbaz juga mengecam semua bentuk Islamofobia, xenofobia dan hasutan kepada keganasan, dan menggesa masyarakat antarabangsa mengambil tindakan bersepadu untuk memerangi sikap tidak bertoleransi dan diskriminasi berdasarkan agama atau kepercayaan.

Kedua-dua pemimpin turut mengalu-alukan penerimaan Resolusi Perhimpunan Agung PBB 76/254 dan 78/264 yang menegaskan kepentingan Hari Antarabangsa Memerangi Islamofobia serta pelantikan Miguel Angel Moratinos Cuyaube dari Sepanyol sebagai Duta Khas PBB untuk Memerangi Islamofobia.

“Mereka menyatakan sokongan mereka terhadap mandatnya sebagai sebahagian daripada usaha antarabangsa kolektif untuk menentang sikap tidak bertoleransi dan menggalakkan kewujudan bersama secara aman,” menurut kenyataan itu.

Shehbaz turut menegaskan sokongan kukuh Pakistan terhadap Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 dan menyatakan keyakinan terhadap kepimpinan Malaysia dalam menerajui ASEAN ke arah integrasi serantau yang lebih mendalam, keamanan dan kemakmuran.

“Kedua-dua pemimpin mengalu-alukan kemajuan yang dicapai dalam pelaksanaan Dialog Sektoral ASEAN-Pakistan,” menurut kenyataan itu – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *