KPDN terima lebih 10 laporan salah guna jenama ‘Jualan Rahmah’ di Kelantan

KOTA BHARU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menerima lebih 10 laporan berkaitan penyalahgunaan jenama “Jualan Rahmah” di Kelantan tahun ini.

Pengarah KPDN Kelantan Azman Ismail berkata perkara ini timbul apabila pengusaha sengaja menggunakan jenama tersebut untuk menarik perhatian pembeli walaupun harga tidak mematuhi peraturan.

“Mereka (peniaga) ini suka-suka letak perkataan ‘Jualan Rahmah’ untuk tarik perhatian pembeli dan harga yang diletakkan pun tidak mematuhi harga Rahmah untuk setiap barang ditawarkan antara 10 hingga 30%.”

“Terbaru, kita ada terima laporan daripada orang awam berhubung perkara ini di Kampung Batu 10, Kadok dan Langgar, Kota Bharu kerana barang-barang yang dijual itu tidak sama dengan harga telah KPDN tetapkan, dia letak harga biasa.”

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah Ihsan Rahmah MADANI di Kampung Pantai Mek Mas.

Mengenai majlis tersebut, program Rumah Ihsan Rahmah MADANI membuktikan keupayaan sektor swasta menyokong usaha kerajaan memastikan rakyat Kelantan mendapat kediaman selesa.

“Dengan sokongan padu daripada semua pihak, usaha ini bukan sahaja dapat meringankan beban kewangan rakyat tetapi juga membantu dalam pembangunan ekonomi yang lebih mampan di peringkat negeri dan nasional.” – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *