ARAU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perlis menyita sebuah kereta mewah jenis Nissan GTR R35 milik ahli perniagaan dari Kedah.
Kereta tersebut disita kerana cukai jalan dan perlindungan insurans telah tamat tempoh sejak Mei lepas.
Pengarah JPJ Perlis Noraini Mohd Nawi berkata pihaknya menahan kereta bernilai anggaran RM350,000 milik lelaki berusia 40-an itu di Jalan Chuping-Padang Besar.
Operasi tersebut dijalankan semasa rondaan Op Luxury pada kira-kira 4 petang semalam.
“Difahamkan lelaki itu ke Perlis kerana mempunyai urusan di Padang Besar dan mendakwa tidak menyedari cukai jalan kereta tersebut tamat tempoh,“ katanya pada sidang media di ibu pejabat JPJ Perlis.
Noraini berkata pihaknya telah menyita 80 kenderaan termasuk tujuh kenderaan mewah dari 1 Januari hingga setakat ini.
Kenderaan-kenderaan tersebut disita atas pelbagai kesalahan seperti cukai jalan tamat tempoh dan tiada perlindungan insurans.
Kesalahan lain termasuk pemandu yang tiada lesen memandu yang sah.
Tujuh kenderaan mewah tersebut ditahan dalam Op Luxury yang bermula 1 Ogos lalu.
Operasi ini menumpukan kepada kenderaan mewah yang melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.
JPJ Perlis juga mengeluarkan Notis 114 kepada 60 kenderaan perdagangan dari 1 Oktober hingga semalam.
Notis tersebut dikeluarkan kerana kenderaan terbabit tiada Slip Pengesahan Kefungsian Speed Limitation Device (SLD).
“JPJ Perlis menyeru semua pemilik kenderaan termasuk kenderaan mewah untuk memastikan dokumen kenderaan sentiasa dikemas kini,“ kata Noraini.
Beliau menasihati pemilik kenderaan agar tidak menunggu hingga dikenakan tindakan penguatkuasaan. – Bernama