JPJ bangunkan sistem ebaki selesaikan isu jualan nombor pendaftaran tamat tempoh

KUALA LUMPUR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedang membangunkan sistem dalam talian dikenali sebagai “ebaki” bagi penjualan dan penawaran nombor pendaftaran kenderaan tamat tempoh.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara 3/2025 berhubung Penyata Kewangan Kerajaan 2024, sistem itu akan dibangunkan di bawah Projek Pembangunan Sistem Digital JPJ.

Pembangunan sistem tersebut kini di peringkat Kajian Keperluan Sistem dan dijangka dilaksanakan pada Oktober 2026.

Hasil yang dikutip JPJ melalui penjualan nombor pendaftaran kenderaan dari 2022 hingga 2024 adalah RM1.648 bilion.

Anggaran hasil tambahan sekurang-kurangnya RM115.96 juta boleh dikutip jika nombor pendaftaran yang disekat dan tidak aktif ditawarkan pada harga minimum.

Terdapat 375,792 nombor pendaftaran tamat tempoh tidak terjual setakat 2024 dan 134 nombor pendaftaran disekat ditawarkan bawah harga minimum.

Nombor-nombor tersebut masing-masing boleh memberi anggaran tambahan hasil sekurang-kurangnya RM112.73 juta dan RM795,150.

Semakan audit mendapati daripada 219 permohonan untuk mendapatkan semula nombor pendaftaran yang telah tamat tempoh, 12 permohonan yang diluluskan hanya dikenakan bayaran fi perkhidmatan sebanyak RM10.

Hasil penuh RM23,100 boleh dikutip jika harga minimum dikenakan ke atas 12 permohonan tersebut.

Harga minimum untuk nombor pendaftaran ditetapkan adalah antara RM300 hingga RM20,000 mengikut kategori Semasa, Popular, Menarik dan Premium.

Fi perkhidmatan sebanyak RM10 dikenakan bagi setiap nombor yang ditawarkan.

Semakan audit turut mendapati asas penetapan harga ditawarkan bagi Nombor Baki kategori Popular tidak seragam antara JPJ negeri.

Jabatan itu disyorkan supaya melaksanakan penambahbaikan dengan memastikan nombor yang tidak aktif ditawarkan kepada orang awam.

JPJ juga disyorkan mengunci harga minimum nombor pendaftaran mengikut kategori ditetapkan melalui tetapan dalam sistem mySIKAP.

Ini bagi membolehkan hebahan yang lebih meluas kepada orang awam.

Jabatan turut disyorkan menyemak semula prosedur operasi standard dan bidang kuasa Jawatankuasa Khas Nombor Pendaftaran.

Langkah ini bagi memastikan hasil dapat dikutip secara maksimum serta mengelakkan ketirisan hasil. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *