KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor akan mengadakan perjumpaan dengan wakil rakyat kerajaan di Menara Kinabalu pada pukul 2 petang ini.
Perjumpaan tersebut akan diadakan di Dewan Bankuasi, Aras 3, Menara Kinabalu.
Perkara ini disahkan oleh Jabatan Ketua Menteri Sabah menerusi jemputan liputan media yang dikeluarkan hari ini.
Terdahulu, kenderaan yang membawa ketua menteri dilihat memasuki Istana Seri Kinabalu pada pukul 8.51 pagi.
Kenderaan membawa Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Musa Aman pula tiba pada pukul 9.20 pagi.
Kenderaan Hajiji kemudiannya dilihat meninggalkan Istana Kinabalu kira-kira pukul 10.20 pagi.
Petugas media telah berkumpul seawal pukul 8 pagi di hadapan istana untuk membuat liputan.
Sementara itu di Menara Kinabalu, kumpulan media mula berada di lokasi seawal pukul 9 pagi bagi membuat persiapan untuk pengumuman pembubaran Dewan Undangan Negeri Sabah. – Bernama