Empangan Melata: Persetujuan komuniti setempat diambil kira – Abang Jo

LUBOK ANTU: Persetujuan serta pandangan daripada komuniti setempat akan diambil kira sebelum pelaksanaan projek empangan melata di Sarawak.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata kerajaan negeri mengambil sikap terbuka dan tidak akan memaksa sekiranya komuniti di kawasan berkenaan tidak bersetuju dengan pelaksanaan projek itu.

Mengambil contoh cadangan pembinaan empangan di kawasan Belaga, beliau berkata projek tersebut telah diminta sendiri oleh komuniti Penan di kawasan itu.

“Projek itu telah diminta oleh masyarakat Penan di situ, tetapi ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang cuba menghasut supaya menolak.

“Jadi, apabila mereka meminta, kita laksanakan. Jika orang di sana tidak mahu, tidak guna kita buat. Buat apa nak cari masalah? Jika anda mahu, kami akan membantu,” katanya kepada pemberita selepas majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-40 Empangan Batang Ai di sini hari ini.

Sebelum ini, dilaporkan kerajaan Sarawak telah mengenal pasti tiga lokasi sungai bagi pembinaan empangan melata iaitu di Sungai Gaat di Kapit, Sungai Tutoh di Baram dan Sungai Belaga di Belaga.

Penjanaan empangan itu akan dilaksanakan oleh syarikat swasta dengan laluan talian grid kabel elektrik disediakan Sarawak Energy Berhad (SEB).

Sementara itu, Abang Johari berkata selain menjana tenaga elektrik, empangan melata juga boleh membantu dalam menangani masalah populasi buaya yang kian meningkat di Sarawak.

“Dengan empangan berperingkat (cascading dam), kita tidak akan menenggelamkan kawasan tanah yang luas, sebaliknya akan menggunakan sungai sedia ada. Pada pendapat kami, dengan pembinaan empangan melata ini, ia akan membantu mengawal populasi buaya, terutamanya dari segi pembiakan.”

“Sekarang ini kita lihat penggunaan bot sudah berkurang dan populasi buaya semakin meningkat. Sebagai contoh di Batang Baleh, oleh kerana sudah ada jalan raya orang sudah tidak gunakan bot jadi buaya semakin banyak di sana,” katanya – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *