KOTA KINABALU: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dibubarkan hari ini bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor membuat pengumuman pembubaran itu pada sidang media di Menara Kinabalu pada 2.54 petang.
Beliau berkata pengumuman berkenaan dibuat selepas mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Musa Aman.
Terdahulu, Hajiji menghadap Tun Musa di Istana Seri Kinabalu pada 8.51 pagi.
Hadir sama pada majlis berkenaan ialah Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam serta anggota Kabinet Negeri.
Presiden parti komponen GRS yang turut hadir termasuk Tan Sri Pandikar Amin Mulia, Datuk Chin Su Phin, Tan Sri Liew Yun Fa dan Tan Sri Anifah Aman.
Turut hadir Pengerusi Pakatan Harapan Sabah Datuk Ewon Benedick serta pemimpin PH Sabah lain antaranya Datuk Phoong Jin Zhe.
DUN Sabah mempunyai 79 kerusi dengan 73 daripadanya dipertandingkan manakala enam lagi merupakan Ahli DUN yang dilantik.
PRN Sabah Ke-16 pada 2020 menyaksikan GRS berjaya membentuk kerajaan Sabah dengan memperoleh 41 daripada 73 kerusi dipertandingkan.
Parti Warisan meraih 23 kerusi manakala Pakatan Harapan memenangi sembilan kerusi.
GRS didaftarkan secara rasmi pada Mac 2022 dianggotai Bersatu, PBS, STAR dan SAPP tanpa penyertaan BN dan PAS.
Pada November tahun sama, Hajiji dan pemimpin Bersatu keluar parti dan menubuhkan Parti Gagasan Rakyat Sabah sebelum Bersatu digugurkan daripada GRS.
Pada Januari 2023, BN menarik balik sokongan terhadap kerajaan Sabah namun PH memutuskan untuk menyokong kerajaan negeri sedia ada.
Khamis lepas Setiausaha Agung GRS Datuk Seri Masidi Manjun memaklumkan STAR dan SAPP akan bertanding secara berasingan menggunakan logo parti masing-masing.
Tindakan itu menyebabkan kedua-dua parti terbabit tidak lagi dianggap sebahagian daripada GRS.
Kini GRS dianggotai Gagasan Rakyat, PBS, USNO, LDP, Harapan Rakyat dan PCS dengan 42 kerusi DUN.
Sementara itu Parti Warisan mempunyai 14 kerusi, BN 12 kerusi, PH tujuh kerusi, KDM dua kerusi dan PAS satu kerusi.
Kerusi DUN Sungai Sibuga kosong berikutan kematian penyandangnya Datuk Mohamad Hamsan Awang Supain pada Januari lepas. – Bernama