KUALA LUMPUR: Lebih 200 permohonan telah diterima untuk menyertai Anugerah dan Festival Filem Antarabangsa ASEAN (AIFFA) 2025 setakat ini.
Pengarah AIFFA Livan Tajang menyatakan peningkatan ini berbanding 170 filem pada edisi terdahulu mencerminkan kesedaran penerbit filem serantau tentang platform tersebut.
Beliau berkata penyertaan anugerah selama empat hari itu terbuka kepada filem yang diterbitkan dari 2023 hingga 2024.
“Kriteria untuk AIFFA ini tidak rumit, asalkan terbitan antara 2023 hingga 2024, selaras dengan penganjurannya yang berlangsung setiap dua tahun,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran AIFFA 2025 Kuala Lumpur.
Sebanyak 13 anugerah akan dipertandingkan pada edisi ketujuh termasuk ASEAN Inspiration Award, ASEAN Spirit Award dan Best Director.
Edisi tahun ini turut memperkenalkan identiti baharu AIFFA melalui dua inisiatif anugerah baharu iaitu ASEAN Unifest dan Borneo Documentary.
“ASEAN Unifest ini filem pendek untuk pelajar universiti yang mahu menyertainya dengan tema Matlamat Pembangunan Mampan.”
“Kategori baharu kedua ialah Borneo Documentary yang menyediakan tiga anugerah berbeza,” katanya.
Livan berkata penganugerahan kategori Borneo Documentary itu bertujuan menggalakkan lebih banyak produser datang ke Borneo bagi penggambaran dokumentari.
Majlis tayangan dan penyampaian anugerah berprestij itu akan berlangsung di Auditorium Muzium Budaya Borneo pada 14 November.
Majlis itu dijangka dihadiri Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Turut dijangka hadir ialah Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) Datuk Hans Isaac dan Ketua Pegawai Eksekutif Finas Datuk Azmir Saifuddin Mutalib. – Bernama