BATU PAHAT: Yayasan Amal Malaysia menyifatkan aktivis yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) sebagai hero kerana sanggup menggadai nyawa bagi menyalurkan bantuan kemanusiaan.
Pengerusi Yayasan Amal Malaysia Negeri Johor Salleh Farmin berkata dua ahli yayasan itu antara yang terlibat dalam misi berkenaan.
Beliau menyatakan seorang daripadanya ialah Norazman Ishak yang juga Timbalan Presiden yayasan antara 23 rakyat Malaysia yang ditahan Israel.
Salleh berkata seorang lagi sukarelawan ialah Nurhelmi Ab Ghani yang tidak ditahan selepas kapalnya mengalami kerosakan di laut.
“Bagi usaha ini, pihak yayasan amat berterima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerajaan, serta semua pihak yang terlibat dalam pembebasan ahli kami,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Beliau mengucapkan terima kasih kepada Anwar Ibrahim atas kebijaksanaan membawa pulang hero mereka dengan bantuan kerajaan Turkiye.
Salleh berkata yayasan itu tidak serik untuk terus membantu rakyat Palestin walaupun aktivis GSF ditahan tentera Israel.
Yayasan Amal Malaysia bersedia menyertai lagi misi sedemikian sekiranya dipelawa pada masa hadapan.
Beliau berkata pemilihan sebagai sukarelawan ke Gaza memerlukan keazaman serta kekuatan fizikal dan mental yang tinggi.
Salleh yakin masih ramai yang berhasrat menyertai misi kemanusiaan walaupun terdedah kepada ancaman dan risiko kehilangan nyawa.
Kesemua rakyat Malaysia yang ditahan rejim Zionis berjaya dibebaskan dan berlepas dari Lapangan Terbang Ramon, Israel semalam.
Mereka tiba di Istanbul pada 8.40 malam waktu Malaysia sebelum dijadual berlepas pulang ke tanah air hari Isnin ini.
GSF disertai lebih 500 aktivis dari 45 negara belayar menuju ke Gaza sebagai simbol solidariti.
Misi tersebut juga bertujuan memecahkan sekatan Israel sambil menghantar bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza. – Bernama