Terengganu ucap penghargaan kerajaan Persekutuan bebaskan aktivis GSF

KUALA NERUS: Kerajaan Negeri Terengganu menzahirkan penghargaan kepada kerajaan Persekutuan yang berjaya membebaskan 23 rakyat negara ini yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF).

Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata kerajaan Persekutuan telah berjaya memainkan peranan dalam memastikan keselamatan dan membawa pulang kesemua aktivis termasuk lima dari Terengganu.

Beliau menyatakan ucapan terima kasih kepada pihak kerajaan Persekutuan yang telah memainkan peranan dan mendoakan supaya mereka yang terlibat selamat sampai ke tanah air.

Ahmad Samsuri ditemui pemberita selepas melancarkan Pusat Cari Kerja Terengganu dan Karnival Kesejahteraan Pekerjaan dan Keusahawanan Negeri Terengganu 2025.

Beliau berkata pihaknya sentiasa berhubung dengan aktivis yang terlibat dari Terengganu melalui pelbagai cara dan mereka semua kini berada dalam keadaan baik dan sihat.

Aktivis yang terlibat dari Terengganu ialah Norfarahin Romli atau lebih dikenali Farah Lee, Muhammad Rusydi Ramli, Razali Awang, Muhammad Abdullah atau lebih dikenali Ustaz Mad Kecil, dan Muhammad Asmawi Mokhtar.

Kesemua 23 delegasi Malaysia yang menyertai misi itu kini berada di Istanbul, Turkiye selepas dibebaskan daripada tahanan tentera Israel.

Mereka dijadualkan berlepas pulang ke tanah air esok menurut Ketua Pengarah Pusat Gerakan Operasi Sumud Nusantara (SNCC) Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby.

GSF disertai lebih 500 aktivis dari 45 negara belayar menuju ke Gaza sebagai simbol solidariti dan usaha memecahkan sekatan Israel.

Misi tersebut juga menghantar bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *