Reformasi YPM akan perkasa yayasan, bina generasi belia berjiwa besar

JOHOR BAHRU: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini, mengemukakan cadangan agenda reformasi Yayasan Pelajaran MARA (YPM) untuk memperkasakan peranan yayasan agar terus relevan dan berimpak tinggi dalam pembangunan belia negara.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata antara langkah utama dicadangkan ialah meningkatkan bilangan anggota Skuad YPM melebihi 20,000 orang di seluruh negara, dengan Johor sebagai antara peneraju utama pelaksanaan.

“Selain itu, tumpuan harus diberikan kepada bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) melalui kerjasama erat institusi di bawah MARA seperti GIATMARA, Kolej Kemahiran Tinggi MARA, Institut Kemahiran MARA dan Universiti Kuala Lumpur.

“Johor dengan ekosistem industrinya perlu menjadi contoh negeri yang mengangkat TVET sebagai laluan masa depan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Skuad YPM 2025 Peringkat Negeri Johor di Stadium Tertutup Arena Larkin di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Selain itu, Ahmad Zahid mencadangkan YPM memperluas bantuan secara bersasar kepada anak muda di luar bandar dan pedalaman, dengan menggunakan data serta kerjasama akar umbi supaya bantuan sampai kepada mereka benar-benar memerlukan.

Beliau berkata sokongan kepada sekretariat dan Sahabat YPM di peringkat negeri dan Parlimen juga perlu dipertingkatkan agar mereka lebih proaktif melaksanakan aktiviti yang tersusun dan berimpak.

“Reformasi YPM ini bukan sekadar pelan atas kertas, tetapi satu tekad besar untuk membina generasi belia yang berjiwa besar, berilmu tinggi dan berakhlak mulia.

“Jika langkah ini kita jayakan bersama, saya yakin YPM akan terus menjadi wadah membentuk anak muda Malaysia sebagai pemimpin masa depan yang berani, berdaya tahan serta mampu membawa bangsa dan negara melangkah gagah di pentas dunia,” katanya.

Penubuhan Skuad YPM merupakan inisiatif strategik yayasan itu untuk memperkasakan golongan muda sebagai ejen perubahan sosial, pendidikan dan pembangunan komuniti menerusi pendekatan “belia untuk belia”.

Majlis pelancaran itu turut menyaksikan penyerahan cek cura bernilai RM1.8 juta daripada kerajaan Johor kepada YPM sebagai komitmen memperkukuh agenda pendidikan dan pembangunan belia.

Program itu dihadiri hampir 5,000 peserta terdiri daripada sukarelawan muda, komuniti MARA, pemimpin setempat serta wakil agensi kerajaan dan swasta – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *