Polis mohon bantuan orang ramai siasat kemalangan maut Sungai Lokan

KEPALA BATAS: Polis memohon bantuan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan maut membabitkan dua individu di Jalan Permatang Baru, Sungai Lokan untuk tampil membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara ACP Anuar Abdul Rahman berkata kedua-dua mangsa dipercayai pemandu dan penumpang rentung selepas kereta dinaiki terbakar.

Beliau berkata mangsa yang identitinya belum dikenal pasti memandu kereta jenis Proton Saga dan dipercayai dari arah Permatang Tiga menghala ke Sungai Dua.

Kereta berkenaan disyaki hilang kawalan lalu terbabas dan merempuh timbunan tanah di kiri jalan sebelum kenderaan itu terbakar.

Kemalangan telah mengakibatkan dua mangsa dipercayai pemandu dan penumpang rentung dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Kepala Batas untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi BSPT IPD SPU melalui talian 04-5757946 atau hadir ke mana-mana balai polis bagi membantu siasatan. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *