Lebih 300 mangsa banjir masih di PPS tiga negeri, Kedah catat peningkatan

KUALA LUMPUR: Lebih 300 mangsa banjir masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara di tiga negeri dengan Kedah mencatat peningkatan jumlah mangsa pagi ini.

Di Kedah, jumlah mangsa yang ditempatkan di PPS Dewan Serbaguna Pokok Sena meningkat kepada 100 orang daripada 30 keluarga pagi ini.

Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Kedah Mejar Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata peningkatan itu susulan penambahan mangsa daripada Mukim Lesong melibatkan Kampung Pematang Limau.

Dua sungai di Kedah iaitu Sungai Ketil di Kampung Bongor, Baling dan Sungai Bata di Kampung Bata, Kubang Pasu berada pada paras waspada.

Di Perak, jumlah mangsa banjir di daerah Larut, Matang dan Selama kekal 107 orang daripada 33 keluarga yang ditempatkan di tiga PPS di Taiping.

PPS Sekolah Kebangsaan Simpang menempatkan 22 penduduk daripada lapan keluarga melibatkan beberapa kawasan perumahan dan kampung.

Sebanyak 38 mangsa daripada 11 keluarga pula kekal berlindung di PPS SK Matang membabitkan Kampung Matang Jambu dan Kampung Telok Kertang.

PPS SK Matang Gelugor menempatkan 47 mangsa daripada 14 keluarga melibatkan Kampung Matang Pasir dan Kampung Matang Gelugor.

Jabatan Meteorologi meramalkan ribut di beberapa daerah di Perak termasuk LMS, Kerian, Perak Tengah dan Hulu Perak pada sebelah petang hari ini.

Di Johor, jumlah mangsa banjir kilat di Pontian yang ditempatkan di sebuah PPS masih kekal 159 orang daripada 46 keluarga.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Datuk Asman Shah Abd Rahman berkata PPS Sekolah Kebangsaan Melayu Raya menempatkan penduduk daripada lima kampung.

Kampung terlibat termasuk Kampung Melayu Raya, Kampung Paya Embun, Kampung Pak Kalib, Kampung Seri Menanti dan Kampung Maju Jaya.

Keadaan cuaca di daerah Pontian dilaporkan cerah pagi ini. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *