KUALA LUMPUR: Tindakan cekap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memastikan pembebasan sukarelawan Global Sumud Flotilla yang ditahan tentera Israel memperlihatkan keupayaan tinggi diplomasi halus Malaysia.
Penganalisis sosiopolitik Universiti Malaya Prof Datuk Dr Awang Azman Awang Pawi berkata kejayaan ini menunjukkan diplomasi moral dan jaringan antarabangsa Malaysia berfungsi dengan berkesan walaupun tiada hubungan rasmi dengan Israel.
Beliau menyatakan Anwar menggunakan pendekatan diplomasi lintas sempadan dan rundingan tertutup melalui negara ketiga seperti Mesir, Jordan, Qatar, atau Turkiye.
Pendekatan diplomasi itu termasuk diplomasi kemanusiaan bersifat berkecuali yang menekankan nilai kemanusiaan tanpa berpihak kepada politik.
Tindakan itu menyerlahkan kebijaksanaan kepemimpinan Anwar sebagai pemimpin dunia Islam yang berani bersuara terhadap Israel tetapi masih mampu berunding melalui saluran antarabangsa.
Kerajaan menggunakan beberapa bentuk diplomasi alternatif yang bijak dan tidak berkonfrontasi dalam keadaan Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik rasmi dengan Israel.
Menerusi diplomasi kemanusiaan, fokus diberikan kepada keselamatan sukarelawan dan prinsip kemanusiaan sejagat berbanding aspek politik.
Diplomasi multilateral pula menggunakan kedudukan Malaysia dalam platform seperti Pertubuhan Kerjasama Islam dan Gerakan Negara-Negara Berkecuali.
Pada peringkat domestik, kejayaan ini mengukuhkan persepsi rakyat terhadap Perdana Menteri sebagai pemimpin berani, berprinsip dan berempati.
Bagi peringkat antarabangsa, hal ini menonjolkan Malaysia sebagai moral voice of the Global South yang berani memperjuangkan prinsip kemanusiaan sejagat.
Secara strategik, tindakan ini menempatkan Anwar sebagai pemimpin Islam moden dan progresif yang bijak menyeimbangkan prinsip dan realiti geopolitik.
Imej beliau sebagai negotiator with conscience diperkukuh melalui keupayaan menegakkan keadilan tanpa tunduk kepada tekanan global.
Geostrategis Prof Dr Azmi Hassan berpendapat Malaysia berjaya memanfaatkan hubungan baik dengan negara seperti Jordan dan Turkiye yang mempunyai saluran komunikasi rasmi dengan Tel Aviv.
Kejayaan itu tidak berlaku secara kebetulan sebaliknya hasil strategi pemimpin negara yang konsisten dalam menggunakan hubungan antara pemimpin.
Tindakan ini mempamerkan kepentingan hubungan akrab antara pemimpin dengan pemimpin dalam diplomasi antarabangsa.
Rekod terdahulu menunjukkan pendekatan sama digunakan Anwar dalam konflik serantau lain termasuk usaha mendamaikan Thailand dan Kemboja.
Gencatan sejata serta-merta antara Thailand dengan Kemboja dua bulan lepas diperoleh melalui strategi Perdana Menteri melibatkan kuasa besar dalam rundingan.
Strategi Perdana Menteri tidak menyisihkan kuasa besar tetapi menggunakan mereka jika memberikan manfaat kepada Malaysia secara keseluruhan.
Imej Perdana Menteri pada peringkat antarabangsa kekal utuh sebagai pemimpin yang berupaya berhujah secara tersusun dan berwibawa.
Namun masih terdapat kebimbangan terhadap sentimen dalam negara apabila segelintir rakyat enggan beri penghargaan sewajarnya kerana perbezaan ideologi politik.
Isu berkaitan kedaulatan, keselamatan dan kepentingan negara seharusnya mengatasi kepentingan partisan menurut Azmi. – Bernama