Buruh dipenjara enam bulan ceroboh Inap desa, intai usahawan wanita mandi

KUALA NERUS: Seorang buruh dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan, iaitu melakukan pencerobohan dan mengintai seorang usahawan wanita di dalam bilik mandi pada Ogos, yang tular melalui laman sosial.

Majistret Noor Mazrinie Mahmood menjatuhkan hukuman itu selepas Ahmad Farhan Rizal Abdullah, 29, mengaku bersalah atas kedua-dua pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.

Berdasarkan pertuduhan pertama, lelaki terbabit didakwa telah mengintai seorang wanita berusia 36 tahun dengan maksud hendak mengaibkan kehormatannya di sebuah inap desa di Manir, dekat sini pada 12.30 tengah malam, 26 Ogos.

Kesalahan di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara selama lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Dia juga didakwa telah melakukan pencerobohan jenayah dengan berada di dalam kawasan premis yang digunakan sebagai tempat tinggal pada hari, masa dan lokasi sama.

Dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga tiga tahun atau denda hingga RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara enam bulan bagi pertuduhan pertama manakala penjara tiga bulan bagi pertuduhan kedua dan memerintahkan hukuman berjalan secara serentak bermula dari tarikh sabitan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Anith Nabilah Rusli manakala Ahmad Farhan Rizal diwakili peguam Nurul Najmi Adila Md Nasir daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Azli Mohd Noor sebelum ini berkata mangsa dan suaminya yang berasal dari Ampang, Selangor telah menyewa inap desa terbabit selama empat hari bermula dari 25 Ogos untuk bercuti dan menjalankan penggambaran iklan baju Melayu.

Katanya, ketika sedang mandi, mangsa melihat kelibat seorang lelaki pada cermin tingkap sambil memegang telefon bimbit – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *