Belanjawan 2026 tiada siapa terpinggir daripada terima manfaat – Ramanan

SUNGAI BULOH: Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R. Ramanan yakin tiada sesiapa akan dipinggirkan dalam Belanjawan 2026 yang akan dibentangkan Jumaat ini.

Beliau berkata permohonan daripada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi telah pun dikemukakan kepada Kementerian Kewangan baru-baru ini.

Permohonan itu adalah susulan perbincangan bersama Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick serta pegawai kanan.

“Kita akan menunggu pengumuman belanjawan oleh Perdana Menteri dan seperti yang selalu kita tekankan, tiada sesiapa yang akan dipinggirkan.”

“Kita tidak boleh mengatakan bahawa kita mahukan jumlah tertentu untuk komuniti India, Cina atau Melayu secara berasingan.”

“Dalam Kerajaan MADANI, kami berkhidmat untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira budaya, kaum atau agama,” katanya kepada pemberita selepas melepaskan konvoi Program Bakul Makanan Deepavali Vanakam MADANI peringkat kebangsaan di sini hari ini.

Baru-baru ini, Ewon menzahirkan harapan agar belanjawan tahun hadapan akan terus mengutamakan pembangunan perusahaan mikro, kecil dan sederhana, gerakan koperasi, serta sektor francais, perusahaan informal dan mikro.

Sementara itu, Ramanan yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh berkata Program Bakul Makanan Deepavali Vanakam MADANI melibatkan sumbangan hampir 2 juta ringgit termasuk sokongan logistik.

Program itu dilaksanakan melalui kerjasama Perdana Menteri, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi dan Amanah Ikhtiar Malaysia.

Sebanyak 16,600 keluarga kurang berkemampuan dan B40 di seluruh negara akan menerima manfaat daripada inisiatif itu bagi meringankan beban mereka sempena perayaan.

Terdapat tambahan 1,000 penerima dari kawasan Parlimen Sungai Buloh di bawah peruntukan beliau sendiri.

Sebagai simbolik pada majlis itu, Ramanan turut menyampaikan bakul makanan kepada 50 keluarga di sini.

Setiap bakul mengandungi beras, minyak masak, tepung muruku, tepung adhirasam, kacang dal dan minyak bijan iaitu barangan yang sinonim dengan sambutan Deepavali.

Perayaan Deepavali akan diraikan pada 20 Oktober ini. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *