758 pesakit mental terima rawatan di klinik kesihatan Melaka sejak 2021

MELAKA: Sebanyak 758 pesakit mental menerima rawatan di klinik kesihatan seluruh Melaka sejak 2021 hingga Jun lepas, dengan hampir separuh daripadanya menderita kemurungan.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem berkata daripada jumlah itu, 600 adalah pesakit baharu manakala 158 lagi pesakit dirujuk atau ‘stepdown’ dari Hospital Melaka untuk meneruskan rawatan di peringkat primer.

“Daripada keseluruhan kes, 48 peratus melibatkan kemurungan, 24 peratus gangguan keresahan dan 18 peratus skizofrenia.

“Bagaimanapun, data ini tidak termasuk jumlah pesakit yang menerima rawatan di hospital atau pusat rawatan swasta,“ katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia peringkat Melaka 2025 di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Rambai sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri Klebang di sini hari ini.

Ngwe berkata antara perkhidmatan kesihatan mental yang disediakan di klinik kesihatan ialah saringan minda sihat, pemeriksaan klinikal awal, kaunseling asas serta intervensi psikososial ringan oleh pegawai psikologi atau kaunselor seterusnya pesakit akan dirujuk ke hospital sekiranya memerlukan rawatan pakar.

Beliau berkata di peringkat hospital, pesakit boleh mendapatkan rawatan pakar psikiatri dan perubatan mental termasuk perkhidmatan subkepakaran seperti psikiatri kanak-kanak dan remaja, geriatrik, neuropsikiatri, forensik serta penyalahgunaan bahan.

“Program Mentari atau pusat komuniti kesihatan mental turut disediakan bagi memberi sokongan berterusan kepada masyarakat.

“Kementerian Kesihatan (KKM) turut menyediakan platform saringan kendiri antaranya MyMinda melalui aplikasi MySejahtera serta portal Mentari yang membolehkan orang ramai menilai risiko awal kesihatan mental mereka dan membuat janji temu di klinik kesihatan,“ katanya.

Beliau berkata bagi memperkukuh sokongan di peringkat akar umbi, KKM melaksanakan program K-MindSet yang melatih ketua komuniti sebagai ejen advokasi untuk menyebar mesej kesedaran, meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai tanda awal masalah mental serta mengurangkan stigma.

Ngwe berkata tema sambutan tahun ini iaitu “Meningkatkan Akses kepada Perkhidmatan Sokongan dan Kesihatan Mental Semasa Krisis dan Bencana” juga dilihat amat bertepatan dengan cabaran dunia hari ini yang berdepan bencana alam, perubahan iklim serta pandemik global. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *