NILAI: Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berkenan berangkat merasmikan kejohanan Karate 1-Series A 2025 di N9 Arena hari ini.
Baginda tiba pada pukul 9.08 pagi dan disambut Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam selaku Penaung Persekutuan Karate Malaysia.
Turut hadir Presiden Persekutuan Karate Dunia Antonio Espinos dan Presiden MAKAF Datuk Nur Azmi Ahmad.
Kejohanan ini berlangsung selama tiga hari bermula semalam dengan penyertaan 1,061 atlet dari 84 buah negara.
Negara yang terlibat termasuk Amerika Syarikat, China, Jepun, Brazil, Algeria, Iran dan Malaysia.
Karate 1-Series A merupakan pertandingan tahap kedua dalam struktur liga Persekutuan Karate Dunia.
Kejohanan ini menawarkan mata ranking dunia sebelum Kejohanan Dunia di Paris bulan ini.
Ia juga berfungsi sebagai persediaan untuk Kejohanan Dunia Senior di Mesir pada November. – Bernama