Trump tetapkan Ahad tarikh akhir Hamas terima gencatan senjata

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump telah menetapkan hari Ahad sebagai tarikh akhir bagi Hamas untuk menerima cadangan gencatan senjata dan pertukaran tahanan.

Beliau mengeluarkan kenyataan tersebut melalui hantaran di platform media sosial Truth Social pada hari Jumaat.

Trump menegaskan Hamas mesti menerima perjanjian tersebut selewat-lewatnya pukul 6 petang waktu Timur atau 2200GMT pada hari Ahad ini.

Israel telah mengekalkan sekatan ke atas Gaza yang dihuni hampir 2.4 juta penduduk selama hampir 18 tahun.

Sekatan tersebut diperketatkan lagi pada bulan Mac lalu apabila rejim Israel menutup lintasan sempadan serta menyekat penghantaran makanan dan ubat-ubatan.

Tindakan ini menyebabkan wilayah Gaza berdepan dengan situasi kebuluran yang serius.

Sejak Oktober 2023, serangan Israel telah meragut hampir 66,300 nyawa penduduk Palestin.

Kebanyakan mangsa yang terkorban adalah terdiri daripada wanita dan kanak-kanak.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan kumpulan hak asasi manusia berulang kali memberi amaran mengenai situasi di Gaza.

Mereka menegaskan bahawa Gaza kini berada pada tahap hampir tidak lagi sesuai didiami.

Kebuluran dan penyakit merebak dengan pantas di tengah-tengah perpindahan penduduk secara besar-besaran. – Bernama, Anadolu

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *