SNCC nafi dakwaan misi GSF tidak bawa bantuan kemanusiaan ke Gaza

SEPANG: Pusat Gerakan Operasi Sumud Nusantara (SNCC) menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Israel bahawa misi Global Sumud Flotilla (GSF) tidak membawa bantuan kemanusiaan.

Ketua Pengarah SNCC Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby berkata semua perkembangan berkaitan penghantaran bantuan telah dikongsi secara terbuka di media sosial rasmi GSF dan Sumud Nusantara.

Beliau menyatakan sumbangan terakhir daripada Agensi Bulan Sabit Merah Turkiye (Kizilay) turut dihantar menggunakan kapal tentera laut Turkiye.

“Kami sudah menjangkakan naratif ini akan dimainkan bagi menunjukkan perjalanan GSF hanyalah untuk membangkitkan gelombang dunia,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Sani Araby berkata ini adalah petunjuk sangat besar bahawa rejim Israel kini berada dalam tekanan.

Beliau memaklumkan kapal terakhir Johnny M tidak dapat meneruskan pelayaran selepas dimasuki air sehingga separuh karam.

Menurut Sani Araby, GSF sejak berlepas dari Barcelona, Itali, Tunisia, Greece dan Malta membawa pelbagai bentuk bantuan dengan bukti bergambar yang telah dikongsikan.

Beliau menegaskan fokus utama ketika ini adalah memastikan keselamatan 495 peserta yang kini dalam tahanan Israel.

“Misi ini ditahan tanpa sebab munasabah dan kita tidak membawa senjata,” katanya.

Beliau menambah delegasi mereka memberikan kerjasama penuh dan kamera litar tertutup menunjukkan tiada sebarang pergerakan mencurigakan.

Oleh itu, beliau berharap seluruh rakyat Malaysia memberi fokus kepada Israel yang mencabul hak kemanusiaan.

“Jika kita terlalu fokus kepada persoalan ‘bantuan pergi ke mana’, kita sudah bawa naratif pesong,” katanya.

Ditanya gelombang kedua misi kemanusiaan ke Gaza, Sani Araby berkata selagi Gaza tidak dibebaskan, dunia akan terus bangkit menyuarakan solidariti.

Beliau berkata landskap antarabangsa kini semakin panas dengan negara seperti Colombia mengambil tindakan memutuskan hubungan dengan Israel.

“Masing-masing sedang melaksanakan peranan yang cukup mengejutkan dalam sejarah moden ini,” katanya.

GSF disertai lebih 500 aktivis dari 45 negara belayar menuju ke Gaza sebagai simbol solidariti dan usaha memecahkan sekatan Israel. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *