KUALA LUMPUR: Sidang Dewan Rakyat akan bermula Isnin ini dengan pembentangan Belanjawan 2026 sebagai agenda utama selama 35 hari sehingga 4 Disember.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 pada 4 petang 10 Oktober.
Pembentangan belanjawan itu boleh diikuti secara langsung menerusi siaran televisyen utama dan platform dalam talian seperti YouTube Parlimen Malaysia.
Belanjawan 2026 merupakan belanjawan keempat Kerajaan MADANI dan yang pertama bagi Rancangan Malaysia Ke-13.
Belanjawan ini akan menjadi landasan awal pelaksanaan RMK13 bagi tempoh 2026 hingga 2030 yang menekankan pembangunan semula negara secara inklusif dan mampan.
Perbahasan RUU Perbekalan 2026 di peringkat dasar dijadualkan berlangsung dari 13 hingga 28 Oktober.
Persidangan kemudiannya akan meneruskan perbahasan pada peringkat jawatankuasa dari 5 hingga 27 November untuk kelulusan Dewan Rakyat.
Selain Belanjawan 2026, sidang ini juga akan membincangkan beberapa rang undang-undang penting termasuk berkaitan buli.
Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said sebelum ini memaklumkan RUU Tribunal Antibuli dijangka dibentangkan bulan ini.
Persidangan kali ini juga akan menyambung semula perbahasan RUU Pembaharuan Semula Bandar 2025 yang ditangguhkan pada Ogos lepas.
Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul berharap setiap Ahli Parlimen menggunakan ruang perbahasan dengan penuh tanggungjawab.
Beliau menekankan pentingnya perbahasan berasaskan fakta dan menyentuh soal kepentingan rakyat.
Johari memberi jaminan keseimbangan akan dipastikan dengan setiap Ahli Parlimen diberikan ruang adil untuk menyuarakan pandangan.
“Kami akan mengurus giliran berbahas secara telus dan saksama supaya tiada suara yang diketepikan,“ katanya.
Beliau juga menyatakan pendekatan pengurusan masa yang lebih berdisiplin akan dilaksanakan termasuk memberi garis panduan masa yang jelas.
Reformasi Parlimen kekal sebagai agenda utama di bawah kepimpinan Johari dan terus diterjemahkan dalam persidangan kali ini.
Dewan Rakyat telah meminda Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat pada 12 Ogos lepas bagi Peraturan Mesyuarat 80B.
Peraturan itu memperuntukkan fungsi Jawatankuasa Pilihan Khas berkaitan kementerian untuk memantau pelaksanaan belanjawan selepas diluluskan Parlimen.
Selain persidangan Dewan Rakyat, sidang Dewan Negara akan menyusul pada 1 Disember dan bersidang selama 12 hari. – Bernama