Selangor sediakan bantuan untuk sukarelawan GSF pulang ke tanah air

SEPANG: Kerajaan Selangor akan menyediakan beberapa bantuan sebagai tanda sokongan kepada delegasi Malaysia yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) sebaik mereka pulang ke tanah air.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata bantuan itu termasuk penggunaan hotel milik kerajaan negeri sebagai pusat persediaan dan transit delegasi Malaysia.

Beliau turut mengumumkan peruntukan RM1 juta kepada Pusat Kemanusiaan Antarabangsa Malaysia bagi memperkukuh peranan pusat itu dalam melaksanakan misi kemanusiaan di Gaza.

Peruntukan tersebut juga akan digunakan untuk menangani bencana di dalam negara mengikut keperluan semasa.

“Sebahagian daripada sumbangan ini boleh digunakan segera untuk persediaan mereka sebaik tiba di KLIA,” katanya pada sidang media selepas melakukan tinjauan di Pusat Gerakan Operasi Sumud Nusantara.

Amirudin menekankan keperluan untuk memastikan pasukan flotila diberi sambutan dan sokongan rapi dari segi fizikal dan kualiti persediaan.

Ketua Pengarah SNCC Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby berkata kesemua 23 peserta GSF yang kini ditahan Israel dijangka diterbangkan dari Ashdod dalam tempoh 48 jam.

Sani Araby mengaitkan perkembangan positif itu dengan usaha berterusan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku penaung Sumud Nusantara.

Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan juga memainkan peranan penting dalam memastikan pembebasan sukarelawan tersebut.

Misi GSF yang disertai lebih 500 aktivis dari 44 negara belayar menuju ke Gaza sebagai simbol solidariti.

Misi kemanusiaan itu bertujuan memecahkan sekatan Israel dengan membawa bekalan penting untuk penduduk Palestin.

Penduduk Palestin terus terjejas akibat serangan berterusan rejim Zionis yang telah berlarutan selama beberapa bulan. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *