Polis ambil keterangan 35 individu kes murid tahun empat di Seremban

SEREMBAN: Polis telah mengambil keterangan daripada 35 individu setakat ini berhubung kes murid lelaki tahun empat yang ditemukan tidak sedarkan diri di sebuah sekolah di Senawang empat hari lalu.

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad menyatakan mereka terdiri daripada pelajar, guru, petugas sekolah serta doktor dan keluarga mangsa.

Beliau berkata pihak polis juga sedang mendapatkan beberapa laporan dan rekod daripada sekolah terbabit, forensik dan hospital untuk melengkapkan siasatan.

Kertas siasatan dijangka akan dimajukan kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat selepas semua maklumat dikumpulkan.

Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 507C Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan buli bagi memastikan keadilan ditegakkan.

Orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi yang tidak berasas sehingga mengganggu proses siasatan yang sedang berjalan.

Pada Rabu lepas, kanak-kanak berusia 10 tahun itu ditemukan tidak sedarkan diri dalam tandas sekolah sebelum disahkan meninggal dunia.

Bedah siasat di Unit Perubatan Forensik Hospital Rembau mendapati punca kematian kanak-kanak itu disebabkan tekanan pada leher.

Tiada sebarang kecederaan lain ditemui pada tubuh badan mangsa semasa proses bedah siasat dijalankan.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek menyerahkan sepenuhnya siasatan berhubung kes itu kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

Beliau menegaskan siasatan akan dijalankan secara telus bagi memastikan kebenaran dapat diketahui. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *