PLANMalaysia diminta teliti resolusi konvensyen URA, tambah baik RUU PSB

IPOH: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming meminta Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) melakukan kajian lebih terperinci mengenai resolusi yang dibentangkan dalam Konvensyen Pembaharuan Semula Bandar (URA).

Beliau berkata kajian itu termasuk cadangan penambahbaikan Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (RUU PSB) dengan pindaan akan dilaksanakan jika resolusi dan cadangan penambahbaikan dari UMNO adalah praktikal serta memberi manfaat kepada semua pihak.

“Sebab itu saya selalu mengalu-alukan semua pandangan yang bernas kerana teguran yang konstruktif akan diambil kira apabila merangka apa-apa akta atau undang undang kerana RUU PSB objektifnya adalah untuk membantu rakyat, khususnya penduduk di flat yang daif dan usang,“ katanya selepas Program Sumbangan Kasih MADANI Sempena Deepavali 2025 di sini hari ini.

Pada program itu, sebanyak 625 pelajar sekolah menengah dalam kawasan Dewan Undangan Negeri Buntong menerima RM400 seorang melibatkan peruntukan RM250,000.

Ditanya mengenai bila beliau akan membentangkan RUU PSB untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat, Nga berkata perkara itu akan dilakukan selepas selesai pembentangan Belanjawan 2026.

Konvensyen URA anjuran UMNO menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan bagi membincangkan isu pembangunan semula bandar termasuk aspek undang-undang, sosioekonomi serta kesejahteraan penduduk yang terlibat.

Resolusi berkenaan, antara lain menzahirkan komitmen UMNO dalam mencari penyelesaian terhadap permasalahan yang dihadapi rakyat, khususnya berkaitan isu pembaharuan semula bandar dan kesejahteraan masyarakat bandar. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *