KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa sokongan bersyarat Malaysia terhadap pelan damai terkini di Gaza mengambil kira keperluan jaminan kebebasan dan kemerdekaan penuh rakyat Palestin.
Beliau berkata keputusan yang diambil Kerajaan MADANI mengenai perkara itu turut mengambil kira pendirian negara-negara Arab dan Islam serta keputusan oleh Hamas sendiri.
“Mengenai perjanjian itu, saya telah menyatakan dukungan terbatas kerana kita masih mahu melihat jaminan kebebasan dan kemerdekaan Palestin,” kata beliau pada satu siaran langsung menerusi Facebook hari ini.
Anwar berkata Hamas menerima ketetapan awal yang menuntut pemberhentian serangan, pembebasan Gaza serta penyediaan ruang kemanusiaan, di samping pembebasan semua tahanan sama ada di Gaza atau di Israel.
Namun, katanya butiran lanjut mengenai perjanjian itu perlu diperhalus bagi memastikan kesepakatan bersama dapat dicapai melibatkan Hamas, negara Arab jiran dan negara Islam lain.
“Bagi pihak Malaysia, apa-apa sahaja yang munasabah, yang diputuskan bersama akan kita lakukan,” kata Perdana Menteri.
Terdahulu, Hamas hari ini dilaporkan menerima sebahagian daripada 20 perkara yang terkandung dalam pelan damai dikemukakan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.
Pelan itu antara lain turut merangkumi pembebasan semua tawanan Israel dalam tempoh 72 jam selepas kelulusan pelan, sebagai pertukaran kepada pembebasan ratusan tahanan Palestin dari penjara Israel.
Selain itu, pelan berkenaan menetapkan penghentian permusuhan, pelucutan senjata semua kumpulan bersenjata di Gaza serta pengunduran berperingkat Israel dari wilayah terbabit, yang kemudiannya akan ditadbir pihak berkuasa teknokrat – Bernama