Malaysia terima bantuan pelbagai negara bebaskan aktivis GSF

SEPANG: Malaysia menerima bantuan daripada beberapa negara termasuk negara anggota ASEAN dalam usaha membebaskan aktivis kemanusiaan yang ditahan pihak berkuasa Israel selepas menyertai misi Global Solidarity Flotilla (GSF).

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata kerajaan kini menggerakkan pelbagai saluran diplomatik melalui rakan antarabangsa yang mempunyai kedutaan di Israel termasuk Amerika Syarikat, Turkiye, Jordan dan Mesir.

Beliau menyatakan kerajaan telah menjangkakan keadaan ini dan telah berbincang dengan rakan-rakan khususnya daripada ASEAN.

“Memandangkan Malaysia tidak mempunyai kedutaan di Israel, kita telah minta supaya negara-negara rakan memberikan bantuan konsular kepada rakyat kita yang ditahan,“ katanya pada sidang media selepas meninjau Pusat Gerakan Operasi Sumud Nusantara (SNCC) di sini.

Mohamad berkata setakat ini, Jordan dan Turkiye telah memberi jaminan untuk membantu proses membawa pulang rakyat Malaysia sebaik sahaja mereka dibebaskan.

Amerika Syarikat melalui timbalan menteri luarnya turut menyatakan komitmen untuk membantu melalui kedutaannya di Tel Aviv.

Semua misi diplomatik Malaysia di Jordan, Turkiye, Kaherah dan Algeria kini berada dalam keadaan siap siaga untuk memberikan bantuan dan sokongan logistik.

“Kita tidak tahu laluan mana tahanan akan dilepaskan sebab ini terpulang kepada pihak rejim Zionis Israel untuk menghantar mereka balik,“ katanya.

Mohamad turut memaklumkan bahawa komunikasi antara barisan peguam yang mewakili GSF dan aktivis tidak dapat dilakukan pada waktu ini kerana Israel sedang menyambut perayaan Yom Kippur.

Beliau berkata situasi itu telah menangguhkan sementara proses diplomasi dan rundingan untuk membawa pulang aktivis GSF.

“Jangan risau, kerajaan sentiasa memantau keadaan mereka secara by the second,“ katanya.

“Kita harap hari Isnin nanti, bila pejabat dibuka semula, kita akan dapat berhubung semula.”

Misi GSF yang disertai lebih 500 aktivis dari 44 negara, termasuk Malaysia belayar menuju Gaza sebagai simbol solidariti dan usaha memecahkan sekatan Israel.

Kementerian Luar sebelum ini mengesahkan kesemua 23 rakyat Malaysia yang menyertai GSF telah ditahan dan akan dihantar pulang melalui negara ketiga. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *