Majlis Peguam kecam Israel halang bantuan kemanusiaan ke Gaza

KUALA LUMPUR: Bantuan kemanusiaan kepada orang awam merupakan hak yang diiktiraf di bawah undang-undang antarabangsa.

Setiap negara berkewajipan memudahkan penghantaran bekalan bantuan dengan segera tanpa halangan kepada mereka yang memerlukan.

Presiden Majlis Peguam Mohamad Ezri Abdul Wahab mengecam tindakan tentera Israel memintas Global Sumud Flotilla serta menahan orang awam di perairan antarabangsa berhampiran Gaza.

Beliau berkata laporan mengenai penggunaan kekerasan terhadap kapal kemanusiaan menimbulkan kebimbangan serius berhubung pelanggaran obligasi antarabangsa.

Sebanyak 40 kapal telah dipintas dan 23 rakyat Malaysia antara orang awam yang ditahan secara tidak sah oleh tentera Israel.

Tindakan sedemikian merupakan pelanggaran terhadap undang-undang antarabangsa yang digariskan dalam instrumen termasuk Artikel 17 dan 87 Konvensyen PBB mengenai Undang-Undang Laut.

Konvensyen Geneva Keempat 1949 serta Resolusi 2728 Majlis Keselamatan PBB turut dilanggar melalui tindakan Israel itu.

Kenyataan Majlis Peguam merupakan sebahagian daripada rekod profesional bersama bagi memperkukuh usaha antarabangsa dalam memastikan akses kemanusiaan.

Mereka juga bertujuan melindungi keselamatan orang awam serta menuntut keadilan.

Majlis Peguam turut menyeru masyarakat antarabangsa untuk memastikan Israel dipertanggungjawabkan.

Mereka mendesak pembebasan segera tahanan dengan pematuhan penuh terhadap undang-undang antarabangsa.

Walaupun mengambil maklum pengumuman Kementerian Luar Israel bahawa semua tahanan berada dalam keadaan sihat dan akan dihantar pulang ke Eropah, Majlis Peguam menegaskan Israel mesti memastikan pematuhan penuh terhadap undang-undang antarabangsa.

Israel juga perlu mematuhi sepenuhnya langkah sementara yang diperintahkan oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa dalam kes Afrika Selatan lwn Israel.

Israel mesti mematuhi syor yang digariskan dalam Bahagian VIII Analisis Undang-Undang terhadap tindakan Israel di Gaza berdasarkan Konvensyen Mengenai Pencegahan dan Hukuman Jenayah Genosid.

Suruhanjaya Siasatan Antarabangsa Bebas PBB mengenai Wilayah Palestin, termasuk Baitulmaqdis Timur dan Israel telah mengeluarkan analisis tersebut.

Mohamad Ezri turut menyeru persatuan peguam di seluruh dunia untuk menggesa kerajaan masing-masing menegakkan kedaulatan undang-undang antarabangsa.

Beliau berharap kerajaan Malaysia menggunakan segala ruang yang ada bagi menyokong prosiding kes Afrika Selatan lawan Israel.

Majlis Peguam menegaskan sokongan kepada mereka yang ditahan, yang dihalang daripada melaksanakan misi kemanusiaan, serta orang awam yang terkorban dalam krisis ini.

Semua pihak mesti diingatkan bahawa perlindungan orang awam adalah satu kewajipan erga omnes iaitu tanggungjawab semua.

GSF disertai lebih 500 aktivis dari 44 negara termasuk Malaysia, belayar menuju ke Gaza sebagai simbol solidariti dan usaha memecahkan sekatan Israel.

Flotila berkenaan membawa bekalan makanan, ubat-ubatan serta mesej keamanan yang menggesa agar peperangan dan krisis kebuluran dihentikan.

Mereka juga menuntut pembukaan akses koridor kemanusiaan ke Gaza. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *