BUTTERWORTH: Pembangunan negara tidak harus hanya berteraskan kemajuan ekonomi, sebaliknya mesti turut menitikberatkan kepentingan rakyat termasuk golongan kurang bernasib baik selari konsep Malaysia MADANI.
Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong berkata di sebalik usaha memajukan negara, aspek kasih sayang, keprihatinan dan keterangkuman perlu diberi perhatian agar tiada lapisan masyarakat terpinggir termasuk pada musim perayaan.
“Ini sesuai dan bertepatan konsep MADANI diketengahkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Seperti tubuh manusia, setiap anggota mempunyai peranan untuk memastikan tubuh berfungsi dengan sihat. Malah jika ada bahagian yang lemah, ia perlu dilindungi. Itulah MADANI,” katanya pada Majlis Mesra Deepavali AEON di sini hari ini.
Sim yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam berkata Malaysia MADANI bukan sahaja meraikan perbezaan, tetapi juga menekankan tanggungjawab bersama-sama untuk melindungi golongan rentan dan memastikan masyarakat penuh belas ihsan.
Pada majlis itu, Yayasan AEON Malaysia (MAF) menceriakan 130 kanak-kanak kurang bernasib baik daripada 50 keluarga komuniti Bukit Mertajam dengan setiap seorang menerima duit raya dan sumbangan tunai RM200 kepada setiap keluarga untuk mendapatkan pakaian baharu sempena Deepavali.
Mereka juga menerima kotak barangan berisi keperluan harian selain MAF menyediakan RM200 untuk setiap kanak-kanak merasai pengalaman membeli-belah di AEON Mall Bukit Mertajam di sini.
Sementara itu. Presiden MAF Ng Eng Kiat berkata Kempen Mesra AEON diperkenalkan pada 2004 untuk membantu keluarga kurang berkemampuan semasa musim perayaan utama termasuk Tahun Baharu Cina, Hari Raya, Deepavali dan Krismas.
Menerusi sokongan padu pelanggan, warga AEON dan rakan niaga, beliau berkata yayasan itu telah menyumbang lebih RM24 juta kepada komuniti memerlukan melalui pelbagai inisiatif.
“Sejak ditubuhkan pada 2004, yayasan ini telah memberi tumpuan kepada empat bidang utama iaitu pendidikan dan penjagaan kesihatan, projek pembangunan komuniti, bantuan bencana serta program kelestarian,” katanya- Bernama