KKM perkukuh rawatan jantung, tambah fasiliti di Serdang menjelang 2027

SERDANG: Kementerian Kesihatan (KKM) akan menambah dua makmal kardiologi invasif (ICL) di Pusat Jantung Serdang dengan perolehan dijadualkan pada 2026, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata langkah itu penting untuk memperkukuh rawatan jantung di hospital kerajaan, selain memberi penekanan kepada pencegahan penyakit kardiovaskular yang kekal pembunuh utama di negara ini.

“Kita akan menambah, insya-Allah, dua lagi ICL di Pusat Jantung Serdang. Ini perolehan 2026 dan kita jangka dapat dilaksanakan pada 2027,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Jantung Jelajah Wira MADANI 2025 di Hospital Sultan Idris Shah (HSIS) di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah HSIS Dr Farique Rizal Abdul Hamid.

Mengulas keperluan menambah fasiliti rawatan atau program saringan jantung, Dzulkefly berkata KKM mengambil pendekatan pelbagai hala dengan memperkasakan fasiliti rawatan akut di hospital utama termasuk di Serdang, Selangor, Pulau Pinang dan Sarawak.

Beliau berkata beberapa hospital seperti Melaka; Miri, Sarawak dan Tawau, Sabah telah menerima penambahan makmal angiografi bernilai RM14.5 juta setiap satu, namun aspek pencegahan kekal sebagai fokus utama KKM.

“Kalau kita hanya bergantung kepada rawatan kuratif, kita akan sentiasa berada dalam keadaan krisis. Kajian Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) mendapati satu daripada tiga rakyat Malaysia mempunyai kolesterol tinggi, satu daripada tiga menghidap hipertensi dan satu daripada enam menghidap diabetes.

“Ini adalah ‘resipi’ kepada krisis penyakit kardiovaskular yang berterusan. Sebab itu saringan awal, gaya hidup aktif, pemakanan sihat dan pengurusan faktor risiko sangat penting,” katanya.

Sementara itu, berhubung Belanjawan 2026, Dzulkefly berkata KKM sedang dalam perbincangan intensif dengan Kementerian Kewangan dan pihak berkaitan bagi memperkukuh peruntukan kesihatan termasuk untuk rawatan jantung.

“Kami difahamkan ada perkembangan positif dan insya-Allah ada berita baik untuk kita semua,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan membentangkan Belanjawan 2026 pada 10 Okt.

Belanjawan 2025 memperuntukkan RM45.3 bilion kepada KKM, meningkat daripada RM41.2 bilion pada 2024- Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *