Kerajaan pertimbang peruntukan tetap untuk YKAT bantu artis

KUALA LUMPUR: Kerajaan bersedia mempertimbangkan permohonan untuk menyalurkan sejumlah peruntukan tetap kepada Yayasan Kebajikan Artis Tanah Air (YKAT) bagi membantu menjaga kebajikan penggiat seni tanah air.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau akan berbincang dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan mengenai perincian perkara berkenaan.

“Kerajaan sentiasa komited untuk membantu semua rakyat, jadi saya bagi pihak kerajaan ingin memberikan komitmen terhadap perkara ini, kepada penggiat industri bahawa kita akan bantu.”

“Malah, sebelum ini kerajaan juga telah mewujudkan Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025, dengan mana-mana golongan artis dan juga penggiat-penggiat seni yang selama ini rasa terpinggir, rasa tidak dipedulikan, telah diberikan perhatian oleh pihak kerajaan,“ katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika merasmikan Konsert Budi Kasih Malaysia 2025 anjuran YKAT di sini hari ini, yang dianjurkan sebagai antara inisiatif untuk mengumpul dana bertujuan membantu kebajikan penggiat seni di Malaysia.

Hadir sama Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad dan Pengerusi YKAT Datuk DJ Dave.

Terdahulu, DJ Dave dalam ucapan alu-aluannya memohon kepada kerajaan agar menambah dana kewangan kepada yayasan terbabit bagi membantu mereka menjaga kebajikan penggiat seni tanah air, terutamanya golongan veteran dan mereka yang ditimpa masalah kesihatan.

Ahmad Zahid dalam ucapannya turut menyeru supaya badan bukan kerajaan, syarikat korporat dan mana-mana individu untuk bergiat aktif serta menyumbang dalam aspek menjaga kebajikan golongan artis di negara ini bagi memastikannya sentiasa berada pada tahap optimum.

Pada majlis itu, Ahmad Zahid turut menyampaikan Anugerah Ikon Seni melibatkan kategori penyanyi, pemuzik dan pelakon kepada tiga penerima iaitu, Datuk David Arumugam (Alleycats), Rahman Mahmood (Man Kidal) dan Margaret Gan.

Ketiga-tiganya membawa pulang wang tunai berjumlah RM3,000 setiap seorang dan trofi. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *